Wednesday, 3 October 2018

Kerajaan Tonjol Keadilan Walau Berbeza Agama - Dr Balachandran

SHARE
Dr Balachandran berucap kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU - Ketua Dewan Himpunan Penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan telah dilantik sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mulai 1 September lalu.

Menurut Dr Balachandran, pelantikan beliau bertujuan memastikan pimpinan PAS dalam erti kata lain pimpinan negeri diberi penerangan mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh warga bukan Islam di Terengganu.

“Walaupun warga bukan Islam di Terengganu hanya merangkumi tiga peratus dari jumlah penduduk Terengganu, tetapi apa yang kita laksana di sini akan menjadi satu ‘role model’ kepada negeri di pantai barat.

“Sebab kita menjadi tumpuan, bagaimana pentadbiran PAS dapat membawa satu pendekatan yang mesra dan penyelesaian kepada sesuatu yang memberi ketidakselesaan kepada warga bukan Islam,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman (2 Oktober).

Katanya, beliau juga memainkan peranan supaya semua kaum di negeri ini dapat menghormati antara satu sama lain.

“Sebagai seorang Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar, kita berperanan membawa satu pendekatan supaya masyarakat di luar sana dapat menikmati keindahan Islam iaitu keadilan dan kesaksamaan serta politik tanpa perkauman.

“Kita hendak tonjolkan bahawa orang bukan Islam ada hak mereka dan kerajaan prihatin kepada mereka walaupun hanya kelompok kecil di negeri ini.

“Kita juga patut menerangkan kepada orang bukan Islam di Terengganu secara amnya bahawa Islam wajib memimpin kerana bila Islam memimpin, ia akan menyelesaikan dan menjaga hak-hak orang bukan Islam," ujarnya.

Katanya, Islam adalah agama rasmi Malaysia dan PAS yang memperjuangkan agama Islam perlu memimpin negeri ini sekaligus membawa Terengganu ke arah maju, berkat dan sejahtera.

“Kita juga harus memastikan pendekatan rahmat untuk semua menjadi realiti, bukan secara retorik sahaja. Pendekatan ini kita kena tonjolkan kepada orang bukan Islam supaya mereka rasa selesa.

“Kita juga hendak beritahu orang bukan Islam bahawa sesiapa yang dilantik sebagai wakil pemimpin mereka baik Melayu India mahupun Cina wajib dihormati, kita tidak mahu bawa faktor perkauman di sini,” ujarnya.

Katanya, semua kaum di negeri ini diharap dapat bersama-sama berganding bahu, memahami dan mewujudkan masyarakat majmuk di bawah pimpinan Islam yang memberi keadilan dan kesaksamaan, politik tanpa perkauman dan menjaga hak masing-masing.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: