Monday, 1 October 2018

Kerajaan Prihatin Nasib Nelayan

SHARE
Dr Alias Razak (dua dari kanan) berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengguna Jeti Nelayan Pulau Duyong di Dewan Sivik Pulau Duyong, Kuala Nerus.
Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS - Kerajaan Negeri Terengganu sedia membantu memberikan peruntukan untuk penambahbaikan infrastruktur bagi memastikan nasib golongan nelayan terbela.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan akan menyediakan kemudahan asas seperti jeti nelayan, kemudahan elektrik, benteng hakisan dan sebagainya.

Menurutnya, nelayan adalah antara golongan yang berpendapatan rendah, pendapatan mereka tidak menentu bergantung kepada keadaan cuaca semasa dan harga barang di pasaran.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengguna Jeti Nelayan Pulau Duyong di Dewan Sivik Pulau Duyong, Kuala Nerus (28 September).


Dalam perkembangan yang sama, Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menyentuh berkenaan golongan yang berpendapatan rendah di bawah RM2,500 sebulan boleh mendaftar borang E-Kasih supaya mendapat manfaat daripada kemudahan yang kerajaan sediakan.

"Majlis Pengurusan Komuniti kampung (MPKK) bertanggungjawab memainkan peranan bagi mengenal pasti golongan ini," ujarnya.

Di samping itu, kerajaan negeri sedang merangka kertas kerja bagi meluluskan rawatan wad kelas tiga percuma di Hospital kerajaan Negeri Terengganu sebagaimana janji manifesto pada pilihanraya umum yang lalu selain daripada air percuma 20 meter padu pertama, kahwin percuma kali pertama, Rumah Mampu Milik (RMM) dan kad sejahtera bagi golongan yang layak.

Turut hadir, Pegawai Kebajikan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Wan fauzi Wan Harun dan wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: