Tuesday, 30 October 2018

Kerajaan Negeri Hargai 17 Penggiat Seni Gamelan

SHARE
Ustaz Ariffin Deraman (kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penggiat seni gamelan.
Oleh: Noraini Jusoh

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Majlis Aspresiasi Lambang Sari Gamelan Tradisional Melayu hari ini menjadi medan untuk menghargai 17 orang penggiat dan aktivis gamelan negeri ini.

Majlis anugerah yang diadakan di Wisma Darul Iman itu dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif memberikan pengiktirafan khas itu sebagai menghargai jasa serta pengorbanan penggiat dan aktivis gamelan negeri ini yang banyak berjasa memastikan warisan seni Istana Terengganu suatu ketika dahulu itu tetap dilestari dan dipertahankan sehingga kini.

“Sijil pengiktirafan ini akan membuktikan kelayakan dan kebolehan mereka untuk memberi tunjuk ajar dan melatih generasi baru dalam seni budaya gamelan.

“Di samping itu, ianya sebagai satu tanda penghormatan dan penghargaan daripada pewaris-pewaris, anak-anak didik serta generasi baru kepada individu-individu yang telah banyak menabur bakti serta berkongsi ilmu kesenian gamelan ini," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Aspresiasi Lambang Sari Gamelan Tradisonal Melayu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada majlis itu, Tokoh Gamelan Tradisional Melayu dianugerahkan kepada Wan A.Latiff Wan Besar, Wan Salmah Wan Sulaiman dan Zaharah Abdul Hamid.

Manakala Anugerah Adi Guru Gamelan Tradisional Melayu pula diberikan kepada Ramli Ibrahim, Hamzah Abdul Hamid, Tun Baharum Tun Abdul Razak, Salwani Shamsuddin, Ahmad Zaki Abdullah, Razali Embong dan Muhammad shahrul Azmi Hassan.


Anugerah Khas Gamelan Tradisional Melayu pula diterima oleh Prof. Dr Siti Zainon Ismail, Dr.Harun Mat Piah, Che Mat Jusoh, Mohd Yusof Abdullah, Sulong Ismail, Othman Abdullah dan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain yang diwakili anaknya Megat Mohd Syahraini.

Pada majlis itu juga, SUKTRA Terengganu menerima Anugerah Khas Institut Gamelan Tradisional Melayu.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: