Tuesday, 2 October 2018

Kerajaan Guna Sistem E-Dewan

SHARE
Yahaya Ali berucap semasa perasmian Kursus Pengurusan Undang-Undang Tanah, Protokol dan Sistem E-Dewan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, di Primula Hotel, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan membuat penambahbaikan sistem pengurusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memperkenalkan penggunaan sistem e-Dewan.

Yang Dipertua (Speaker) DUN Terengganu, Yahaya Ali berkata, pihak pentadbirannya akan melaksanakan pengurusan digital berhubung dengan perjalanan Sidang Dewan (DUN) akan datang.

Justeru itu, katanya setiap ahli dewan terbabit diminta mengemukakan soalan-soalan secara online dan tidak lagi cara manual.

“Ahli-ahli Dewan diminta mengemukakan soalan-soalan dewan tidak lagi secara manual iaitu surat biasa tetapi kita ada portal khas, di mana Ahli-ahli Dewan guna secara online dan satu portal akan dibuka.

“Harap tidak ada Ahli-ahli Yang Berhormat fobia berkait dengan penggunaan komputer. Ini kerana, ianya suatu sistem yang sangat mudah dan cepat,” ujarnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pengurusan Undang-Undang Tanah, Protokol dan Sistem E-Dewan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, di Primula Hotel, Kuala Terengganu, 1 Oktober lalu.

Menurutnya, terdapat banyak kelebihan dan kemudahan dari penggunaan sistem e-Dewan tersebut berbanding secara manual.

“Kita ada juga ‘aplication’ yang lain. Umpamanya, handset dewan. Jika sebelum daripada ini ianya dibekal dalam bentuk cetakan melalui buku. Apabila kita laksanakan sistem e-Dewan ini, seluruh perjalanan Sidang Dewan boleh dilihat di dalam portal masing-masing sebagai rujukan awal.

“Saya harap dalam Persidangan DUN Terengganu yang akan datang ini pada 25 hingga 29 November, kita (DUN) dapat gunakan secara teratur sistem yang dicadangkan itu.

“Kita telah melawat DUN di Kelantan, Selangor dan Perak, mereka jauh lebih ke hadapan berkait dengan pengurusan pentadbiran DUN berbanding kita sekarang,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, terdapat tiga eleman penting yang tidak dapat dipisahkan dalam pembentukan sesebuah kerajaan itu.

“Apabila bercakap soal kerajaan, ada tiga eleman penting iaitu pertama, pihak eksekutif yang dipimpin oleh Menteri Besar dengan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Kedua, badan legislatif iaitu badan perundangan kita dan ketiga, kita ada badan kehakiman. Tiga cabang inilah yang membentuk sebuah kerajaan.

“Kita mengharapkan dalam pentadbiran kerajaan kita (PAS) membuktikan kecemerlangan. Bukan sahaja kita hendak melihat kecemerlangan itu dalam konteks kerja-kerja yang diambil tanggungjawab pihak eksekutif, bahkan juga pihak badan legislatif, insya-Allah,” tegasnya.

Seramai lebih 40 orang ADUN, Ahli Parlimen dan isteri mengikuti kursus pengurusan tersebut anjuran Pejabat DUN Terengganu dan kerajaan negeri.

SHARE

Author: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: