Tuesday, 30 October 2018

Kejohanan Enduro Cross Bukit Batu Tertutup Terengganu 2018 Dijangka Tarik 100 Pelumba

SHARE


Oleh : Dzakaria Mohd Salleh

SETIU, 30 Oktober - Kejohanan Motocross `Enduro Cross Bukit Batu Tertutup Terengganu 2018' di  Kampung Bukit Nenasi, Batu Rakit, pada 3 November ini, dijangka akan menarik penyertaan lebih 100 peminat sukan ekstrim itu.

Setiausaha kejohanan, Rafiuddin Abdul Razak, berkata Kelab Motocross Bukit Batu bekerjasama dengan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Nenasi, selaku penganjur bersama untuk merealisasikan kejohanan julung kali itu.

"Terima kasih kepada MPKK Bukit Nenasi dengan komitmen ini dan diharap usaha bersama ini mampu melahirkan jaguh dan mempromosikan sukan ini  ke peringkat lebih tinggi lagi.



"Kami menyahut saranan kerajaan yang mahu Terengganu menjadi kilang melahirkan atlet bertaraf dunia seperti sukan lumba basikal,"katanya selepas meninjau persiapan terakhir trek itu, di Kampung Bukit Nenasi, di sini, semalam.

Rafiuddin berkata, pertandingan motocross yang akan mempertaruhkan tiga kategori iaitu  MX Enduro Cross, CKD Enduro Cross dan Cubcross Enduro Cross itu dijangka akan menarik penyertaan lebih 20 kelab motocross seluruh Terengganu termasuk pelumba persendirian.
 
Katanya, pihaknya memperuntukkan kos lebih RM10,000 bagi menganjurkan pertandingan itu, manakala tawaran hadiah keseluruhan sehingga RM4,000 sebagai habuan kepada peserta terbaik.


Menurut beliau lagi, kejohanan yang menggunakan trek sepanjang lebih satu kilometer itu dijangka akan menjanjikan cabaran, pengalaman dan persaingan sengit di kalangan peserta.




Sementara itu, Pengerusi MPKK Bukit Nenasi, Zulkifli Mat Jusoh berkata, penganjuran bersama dengan Kelab Motocross Bukit Batu itu merupakan satu perintis dan inisiatif untuk mencungkil bakat serta kemahiran anak muda supaya mempunyai platform yang terbaik untuk melibatkan diri dalam sukan lasak permotoran.


Zulkifli


"Kini anak-anak muda sudah melihat MPKK bukan sekadar penghubung kepada kerajaan terhadap sebarang keperluan rakyat namun boleh bersama dalam memenuhi minat dan aspirasi mereka," katanya.

Menurutnya lagi, Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shahrizukirnain Abd Kadir dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit Ustaz Mohd Shafizi Ismail dijangka akan hadir memberikan sokongan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
 

Sebarang pertanyaaan untuk menyertai kejohanan ini boleh menghubungi talian 0179084024 (Rafiuddin), 0179036647 (Zulkifli).
SHARE

Author: verified_user

0 komen: