Wednesday, 17 October 2018

JKM Peruntuk RM3 Juta Hadapi Banjir

SHARE
Zuhami (dua dari kanan) melawat mini depot simpanan banjir di Kampung Machang, Ajil hari ini.
HULU TERENGGANU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menyediakan keperluan sebagai persiapan awal menghadapi kemungkinan banjir.

Pengarahnya, Zuhami Omar berkata, peruntukan ini melibatkan RM1.5 juta melalui kerajaan negeri dan selebihnya dari Kerajaan Persekutuan untuk diagihkan kepada 553 pusat pemindahan berdaftar dengan kapasiti 131,875 mangsa.

"Peruntukan itu termasuklah penyediaan stok bekalan di pangkalan hadapan dan penyelenggaraan kemudahan asas di pusat-pusat pemindahan.

"Ianya meliputi makanan, selimut, tikar, kits kebersihan dan lain-lain lagi keperluan untuk bekalan selama tujuh hari dan jika tidak mencukupi, pihak kami akan menghantar bekalan tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas melawat mini depot simpanan banjir bagi Mukim Hulu Berang di Kampung Machang, Ajil di sini, hari ini.

Menurutnya, JKM juga sudah mewujudkan 20 stor bencana dan 142 pengkalan hadapan untuk menyimpan barangan keperluan mangsa di lokasi yang strategik di seluruh negeri.

"JKM juga telah mengenal pasti 58 pembekal di Terengganu seperti Giant dan Mydin untuk membantu sekiranya stok keperluan sedia ada tidak mencukupi.

"Pihak kami juga memberi pengisian kerohanian iaitu kaunseling kepada mangsa banjir kerana mereka ini trauma, sedih dan bimbang kerana terpaksa berpindah dari rumah.

"Ini perlu diberi perhatian dan pihak kami telah menyediakan 15 orang kaunselor terlatih untuk membantu mereka  dan turut dibantu oleh kaunselor luar dari pelbagai agensi," ujar Zuhami.

Tambahnya lagi, pihak JKM juga menyediakan 40 tandas bergerak bagi kegunaan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan yang mengalami masalah tandas yang tidak mengcukupi.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: