Wednesday, 10 October 2018

Jaga Adat, Jaga Akhlak Islam

SHARE
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah (tengah) bersama Pegawai JHEAT, Azmi Tengah (kiri) dan penganjur pameran, Prof Dr Abd Manan Embong (bersongkok) bercakap kepada wakil media di Galeri Pameran Artifek Rasulullah dan Sahabat, Pusat Dagangan Terengganu (TTC).
KUALA TERENGGANU - Pameran artifak Rasulullah SAW, para Sahabat R.A dan sejarah Islam yang sedang berlangsung selama satu bulan di Terengganu setakat ini tidak menimbulkan sebarang masalah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ini kerana, katanya timbul gambaran tertentu yang negatif diviralkan melalui 'facebook' oleh individu tertentu.

“Saya bersama dengan Pegawai Pejabat Agama (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu) turun pada petang ini untuk melihat suasana di pameran ini.

“Apabila kita melihat adanya gambaran-gambaran (negatif) dalam 'facebook' yang diviralkan, kami (kerajaan) bimbang takut berlaku sesuatu perkara yang tidak sewajarnya di pameran ini.

“Apabila kami datang, kami rasa tidak ada masalah setakat ini,” ujarnya selepas lawatan ke galeri Pameran Artifak Rasulullah dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, semalam (9 Oktober).

Prof Dr Abd Manan (bersongkok) menerangkan tentang Kelambu Makam Rasulullah kepada Exco Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ustaz Azmi Tengah.
Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor turut mengingatkan pihak penganjur pameran tersebut agar tidak wujud unsur-unsur yang boleh dipertikaikan oleh masyarakat.

“Hanya kami peringat kepada pihak penganjur agar tidak wujud unsur-unsur yang boleh dipertikaikan oleh masyarakat. Sebab ini, hanya pameran dalam bentuk sejarah (Rasulullah) sahaja.

“Dalam erti kata lain untuk memperkenalkan sesuatu barang dalam bentuk sejarah. Dia bukan dalam bentuk akidah, bukan dalam bentuk kepercayaan (taksub).

“Bahkan, saya menyeru kepada pengunjung-pengunjung yang hadir supaya didik anak-anak mereka melihat berasaskan sejarah, cerita dan bukan berasaskan akidah,” jelasnya.

Exco Ustaz Mohd Nor Hamzah (kanan) bersama Ustaz Azmi Tengah melihat pameran bekas celak Rasulullah SAW
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta tidak menjadikan ianya isu besar dalam masyarakat.

“Kemungkinan insiden-insiden yang diviralkan itu di luar jangkaan dan kawalan. Program (pameran) ini untuk memperkenalkan kepada masyarakat tentang sejarah Islam.

“Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu yang besar dalam masyarakat. Saya harap, pengunjung-pengunjung yang datang dapat jaga adat, jaga akhlak. Jangan timbulkan sesuatu yang kontroversi dalam masyarakat.

“Perkara (pameran artifak) ini tidak sepatutnya dijadikan satu isu yang besar. Ini kerana, isu yang lebih besar sedang berlaku dalam negara kita hari ini termasuk gejala sosial, tempat kasino (judi) dan tempat-tempat maksiat,” tegasnya.

Ketika ditanya tentang komen 'netizen' yang meragui ketulenan artifak-artifak dan motif penganjuran pameran itu, beliau menyarankan agar pihak terbabit datang sendiri melihat dan berbincang dengan penganjurnya.

“Saya harap ianya tidak menjadi isu yang besar dalam masyarakat kita. Pandangan yang berbeza-beza itu tidak menjadikan kita berbalah dan hangat dalam masyarakat kita.

“Kita datang atas nama Pejabat Agama (JHEAT) dan penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan. Pameran ini bukan kali pertama dianjurkan dan banyak tempat (negeri) telah dianjur seperti Johor, Kedah, Putrajaya, Kelantan dan negeri-negeri lain termasuk luar negara.

“Saya mohon agar yang datang itu dia boleh mari, tengok suasana yang ada ini atau boleh mari bincang dengan (Prof) Dr Manan sendiri tentang apa tujuan dia bawa pameran macam ini. Baru kita dapat tahu tujuan dia,” jelasnya.

SHARE

Author: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: