Saturday, 13 October 2018

Islam Benar Perubatan Untuk Elak Mudarat

SHARE
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang ketika berucap dalam Program Kesedaran Kepentingan Immunisasi anjuran Jabatan Kesihatan Daerah Marang di Dewan Tok Guru, Rusila, semalam (12 Oktober).
Oleh: Aslam Wira

MARANG - Agama Islam membenarkan perubatan yang bertujuan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan penyakit berjangkit.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, di dalam Quran ada menunjukkan bahawa Allah membenarkan hamba-Nya mencari ikhtiar yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

"Firman Allah SWT, tanyalah mereka yang berilmu dalam bidang mereka sekiranya kami tidak tahu. Dalam bidang perubatan tanyalah pakar dan ahlinya tentang nasihat mereka kerana mereka mempunyai ilmu berkenaan dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hukum-hukum dalam sudut perubatan ekoran daripada peningkatan kes Penyakit Demam Campak (MEASLES) dalam Program Kesedaran Kepentingan Immunisasi anjuran Jabatan Kesihatan Daerah Marang di Dewan Tok Guru, Rusila, semalam (12 Oktober).


Dalam perkembangan yang sama, Pakar Perubatan Keluarga (FMS) Kementerian Kesihatan Kuala Abang, Dr Suhazeli Abdullah turut menyentuh berkenaan isu sensitif injeksi immunisasi vaksin untuk mengelakkan campak.

“Saya menolak sama sekali bahawa vaksin ini adalah haram di mana ianya dikatakan mengandungi bahan dan unsur campuran haiwan haram khinzir dan juga janin.

"Ini kerana di Malaysia tiada campuran dan kandungan dalam vaksin yang dibenarkan seperti yang diwar-warkan tersebut.

“Oleh itu, saya ingin menyeru ibu bapa supaya dapat bekerjasama bagi membantu Jabatan Kesihatan untuk pemberian vaksin kepada anak-anak untuk mencegah penyakit bukan sahaja campak tetapi juga penyakit berjangkit yang lain," ujarnya.

Program tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan berkaitan kepentingan injeksi immunisasi vaksin kepada anak-anak.

Di samping itu, ianya untuk menjawab segala kemusykilan agar penyakit berjangkit yang boleh membawa komplikasi tidak diingini dapat dihapuskan.


Turut hadir sama dalam program kesedaran tersebut, Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Wahad Osman, Pegawai Epidemilogi Pejabat Kesihatan Marang, Dr Kartik, serta Pakar Rawatan Keluarga dan Kanak-Kanak Klinik Kesihatan Marang, Dr Zaleha Yusof.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: