Sunday, 14 October 2018

Hulu Terengganu Simpan Khazanah

SHARE
Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah (tengah) ketika berucap dalam forum yang bertajuk "Kegemilangan Islam Di Hulu Terengganu" sempena Program Jejak Pejuang yang diadakan di Masjid Kampung Dura, semalam (13 Oktober).
Oleh: Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU - Hulu Terengganu khususnya di Telemong banyak memiliki peninggalan sejarah Islam yang tidak diketahui oleh orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antaranya Kerajaan Temir yang pernah menjadi pusat Kerajaan Terengganu pada abad ke-14 dahulu.

"Makam Sheikh Syarif Muhammad Al-Baghdadi yang merupakan pendakwah Islam pada zaman dahulu juga berada di Hulu Terengganu.

"Tidak dilupakan, sejarah peristiwa Padang Kachung yang telah mengorbankan seramai 12 orang pahlawan dalam mempertahankan hak mereka.

"Kita mesti ambil cakna dengan sejarah Hulu Terengganu, tentang ulama'-ulama' terdahulu yang sekarang makamnya berada di Hulu Terengganu.


"Bangkitkan kisah perjuangan mereka dalam mempertahankan agama sehingga ada yang terkorban kepada generasi baru.

"Sedarkan generasi sekarang betapa susahnya orang dahulu dalam ikhtiar menyebarkan Islam kepada kita," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam forum yang bertajuk "Kegemilangan Islam Di Hulu Terengganu" sempena Program Jejak Pejuang yang diadakan di Masjid Kampung Dura, semalam (13 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam turut mengingatkan agar mengambil peluang yang ada sekarang untuk mendalami agama dengan menghadiri kuliah-kuliah yang dianjurkan oleh pihak masjid atau surau.

"Kita perlu berusaha untuk mempertingkatkan aktiviti kuliah ini agar masyarakat mudah untuk memahami Islam.

"Dalam dunia tanpa sempadan ini, kita haruslah berhati-hati dalam mengambil sesuatu maklumat agar tidak menjadi agen penyebar fitnah dan menyebarkan maklumat yang salah.

"Maklumat yang diterima mestilah dipastikan dahulu kesahihannya.

"Dapatkan sumber-sumber rasmi agar mendapat maklumat yang tepat.

"Marilah kita sama-sama mendokong dan mempertahankan kerajaan yang berusaha untuk mendaulatkan syariat Islam ini (Kerajaan Terengganu).

"Ini kerana masyarakat luar sentiasa memerhatikan kita (Terengganu & Kelantan).

"Pihak musuh juga sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menjatuhkan kerajaan kita," tambahnya.

Serama kira-kira 100 orang masyarakat setempat hadir memeriahkan majlis ini.

Turut hadir sama, Pendakwah Bebas, Hagia Sofia Mohamad yang menjadi panel forum tersebut.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: