Monday, 22 October 2018

Hakisan Pantai: MB Bincang Dengan UMT

SHARE
Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian penutup KLK UMT disaksikan oleh Dr Haji Alias (dua dari kiri) dan Prof. Dato’ Dr Nor Aieni  (kanan). 

KUALA NERUS - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan bahawa beliau pernah mengadakan perbincangan dengan pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengenai hakisan pantai Terengganu dengan mendapat pelbagai pendapat cara penyelesaian masalah tersebut.

Menurutnya segala pandangan berkenaan jika dimanfaatkan akan memberi keuntungan kepada pihak universiti tersebut dan kerajaan negeri.

"Apabila saya mengajak Dato' Naib Canselor (Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar) dan rakan-rakan akademik yang lain bertemu dan berbincang mengenai hakisan pantai di Terengganu yang saya kira dapat menjana bermacam-macam pandangan.

"Dan akhirnya apabila kita bergerak ke hadapan, In Sya Allah akan ada keuntungan kepada universiti dan kepada negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Karnival Luar Kampus (KLK) UMT di Perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak di sini 20 Oktober.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Haji Alias Razak, Prof Dato' Dr Nor Aieni, Ahli Lembaga Pengarah UMT, Prof TS Aziz Deraman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof TS Cik Mohd Rozaidi Razali, Pegawai-pegawai Utama dan Pegawai-pegawai Kanan UMT, Pelajar-pelajar UMT serta Komuniti Kuala Nerus.


Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) menyaksikan tayangan montaj aktiviti KLK UMT bermula 18 hingga 20 Oktober lalu.


Dr Ahmad Samsuri seterusnya menyeru warga universiti berkenaan memikirkan persoalan apa yang perlu dilakukan untuk negeri dan negara dalam tempoh lima hingga 20 tahun akan datang.

"Saya percaya warga universiti bukan sahaja belajar tetapi turut berfikir persoalan, lima tahun, 10 tahun dan 20 tahun akan datang, kepada masyarakat dalam negari dan negara kita ini.

"Justeru, saya menyeru warga universiti sama-sama menjaga negeri kita ini dengan penterjemahkan ilmu dalam masyarakat dengan membabitkan diri dengan aktiviti komuniti," ujarnya.

Katanya, rakan universiti termasuk mahasiswa dan mahasiswi perlu menterjemahkan ilmu yang dipelajari dengan menjana idea baharu untuk membantu membangun masyarakat setempat dan negeri Terengganu.

"Warga universiti boleh mengaktifkan sukan dan budaya komuniti dengan ilmu yang dipelajari di samping membantu menyelesaikan masalah masyarakat.

"Kecaknaan ini haruslah disegarkan dalam diri mahasiswa dan mahasiswi sekalian," tegasnya.

SHARE

Author: verified_user


0 komen: