Tuesday, 9 October 2018

Habitat Anak Tuntung Dipelihara

SHARE
Ustaz Alias Abd Hamid melepaskan anak Tuntung sebagai gimik perasmian di di Sungai Pasir Gajah, Kemaman, baru-baru ini.


Oleh : Aminji

KEMAMAN - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih mengadakan program `Majlis Pelepasan Anak Tuntung' bersama Turtle Conservation Society of Malaysia dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kemaman menyajikan satu pengalaman menarik bagi golongan muda apabila dapat melihat, memegang dan melepaskan haiwan itu ke dalam air.
Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd Hamid berkata program ini merupakan salah satu  aktiviti kesedaran masyarakat bagi meningkatkan apresiasi dan kecintaan terhadap warisan alam dan haiwan eksotik yang kian diancam kepupusan.
“Kita alu-alukan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usahasama untuk memelihara habitat anak tuntung ini terutama di Pasir Gajah.
“Ini juga merupakan salah satu usaha yang baik kerana Islam juga menggalakkan untuk kita berbuat baik kepada binatang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelepasan Anak Tuntung di Sungai Pasir Gajah, di sini, 6 Oktober.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Haji Ab.Razak Ibrahim, kakitangan i-MiTS DUN Air Putih, Penghulu dan  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pasir Gajah.
Pelbagai acara menarik turut diadakan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, demontrasi membuat kuih tradisional, memanah, persembahan silat, derma darah dan lain-lain lagi bertempat di Dewan Orang Ramai Pasir Gajah.

Sementara itu, Ab. Razak berkata, bagi menjaga haiwan eksotik ini, operasi penyedutan pasir sungai secara haram perlu dihentikan kerana aktiviti ini dapat menjejaskan habitat berkenaan.

“Aktiviti itu perlu dihentikan segera bagi mengelakkan kemusnahan ekologi kawasan terbabit menjadi lebih serius berikutan ia adalah lokasi pendaratan tuntung.

"Pengambilan pasir ini dikhuatiri menjejaskan alam semula jadi, seterusnya memberi kesan kepada jumlah pendaratan haiwan ini," ujarnya.

Menurut Ab. Razak lagi, projek memelihara tuntung ini sudah bermula pada Februari 2011 dan terkini, sebanyak 100 anak tuntung berjaya dilepaskan.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: