Wednesday, 24 October 2018

Golden Pharos, BioBenua Teknoloji Kerjasama Pasarkan Minyak Gaharu

SHARE




KUALA TERENGGANU , 24 Oktober -  Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB), sebuah anak syarikat Golden Pharos Berhad (GPB) menandatangani satu perjanjian dengan BioBenua Teknoloji Sdn Bhd, bagi menjual minyak gaharu yang diproses daripada 500 pokok Karas.



Kerjasama itu juga bakal menyaksikan pembahagian keuntungan iaitu 60 peratus dan 40 peratus di antara BioBenua Teknoloji dan PPSB, termasuklah kegiatan menanam, memproses, menapis dan memasarkan sebarang produk yang dihasilkan daripada pokok Karas.

Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak berkata, kerjasama di antara kedua-dua syarikat tersebut tidak akan memberi impak segera kepada kewangan syarikat tetapi bakal memberi sumbangan positif kepada syarikat di masa hadapan.

"Di bawah perjanjian tersebut, PPSB akan membekalkan 500 pokok Karas yang matang, manakala BioBenua Teknoloji akan menanggung kos rawatan pokok tersebut daripada sebarang jangkitan.

"Kemudiaannya, pokok yang telah dirawat akan diproses bagi menghasilkan minyak gaharu, di mana ia merupakan bahan asas penting bagi pembuatan minyak wangi dan produk bauan yang lain,"katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.



Ahmad Nadzarudin berkata, keputusan kumpulan GPB bekerjasama dengan syarikat BioBenua Teknoloji merupakan inisiatif terbaik berikutan industri karas mempunyai permintaan yang tinggi di seluruh dunia.


Katanya, Kumpulan Golden Pharos Berhad mempunyai 1,000 pokok Karas yang ditanam dalam 2,471 ekar di Ladang Karas, Merchang, Marang.

Karas atau lebih dikenali sebagai gaharu merupakan satu spesies pokok yang paling tinggi ditanam oleh petani di Malaysia dan boleh diproses bagi menghasilkan minyak gaharu, minyak wangi, manik, bau-bauan, bahan hiasan serta teh wangian.


Malaysia merupakan salah satu daripada 12 negara di dunia yang menanam 50,000 jenis spesies pokok yang hidup dalam pelbagai habitat, boleh dijumpai di sekitar kampung sehinggalah ke dalam pedalaman hutan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: