Friday, 12 October 2018

Generasi Muda Perlu Cakna Kesihatan Mental

SHARE

Oleh : Ariss Alias

SETIU - Kesihatan mental amat penting kepada semua lapisan umur lebih-lebih lagi generasi muda sebagai pewaris negara pada masa hadapan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, golongan tersebut khususnya perlu belajar mengawal tekanan untuk membina mental yang sihat.

Menurutnya, kerajaan negeri berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu semasa.

"Mengikut kajian, dua orang daripada tujuh pelajar sekolah menengah mengalami ketagihan internet.

"Ini membimbangkan kerana gejala ini akan meningkat sekiranya tidak dikawal.


"Internet boleh membawa kebaikan kepada masyarakat namun ia juga membawa masalah baru seperti kes buli siber, sejenis buli alaf baru terhadap golongan muda.

"Ini merisaukan kerana mangsa berisiko menghadapi gangguan masalah mental. Salah satu langkah membendung gejala ini ialah kestabilan institusi keluarga.

"Ingatlah di dalam jasad kita terdapat satu gumpal darah. Jika ia baik, maka baiklah kita. Jika ia buruk, maka burukla kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, Setiu, semalam (11 Oktober).

Sambutan Hari Mental Sedunia tahun 2018 yang mengangkat tema "Generasi Muda dan Cabaran Kesihatan Mental di Arus Kemodenan" mula diraikan pada 10 Oktober setiap tahun bermula 1992.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Bahagian Kes Awam), Dr Hajah Kasemani Embong, Ahli Parlimen Setiu Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Awang dan Pegawai Kesihatan Daerah Setiu, Dr Suhaila Abdul Syukor.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: