Sunday, 14 October 2018

Generasi Celik IT Warisi Kepimpinan

SHARE


Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN - Golongan muda bakal mewarisi kepimpinan Negeri Terengganu dan Malaysia. Rakyat atau pemimpin akan datang mestilah di kalangan yang sentiasa cemerlang dan pintar IT (teknologi maklumat), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Sehubungan itu, menurut Ir Saiful lagi, ibu bapa perlu memastikan anak-anak muda memiliki kemahiran dan menguasai pelbagai kepakaran ilmu serta teknologi moden masa kini.

"Seperti yang dinyatakan dalam Islam, kemuliaan seseorang di dunia (adalah) dengan ilmu, di akhirat (juga) dengan ilmu. Jadi, sesiapa yang nak kemuliaan untuk kedua-duanya pun adalah dengan ilmu," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Jalinan Mesra Komuniti, Pusat Internet Felda Kerteh 5, Kemasik, di sini, 12 Oktober.

Turut hadir, pengurus program, Azmawani Mohd Radzi dan Pengerusi serta Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan.


Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya masyarakat sentiasa memanfaatkan dan melibatkan diri dalam pelbagai program ilmu sebegini pada masa akan datang.

Di majlis yang sama, pelbagai aktiviti turut disediakan kepada orang ramai termasuklah kempen derma darah, sukaneka dewasa dan kanak-kanak, pemeriksaan mata, perkhidmatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Mobile dan lain-lain.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: