Monday, 1 October 2018

Dua Sekawan Mangsa Lemas Selamat Dikebumi

SHARE



Oleh : Ariss Alias
SETIU -  Jenazah dua mangsa lemas selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Felda Chalok pada jam 11.30 pagi, pada 1 Oktober.

Mangsa, Nur Qumairah Qistina Mohammad Nizam dan Nur Hafizatul Nabihah Mohd Jaafar lemas ketika sedang mencari kepah bersama dua orang lagi rakan mereka di Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap, di sini, semalam.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap Azmi Maarof bersama ahli keluarga mangsa menunaikan solat jenazah di Masjid Felda Chalok yang turut disertai oleh guru-guru dan rakan-rakan mangsa,





Rakan mereka Nur Ain Najihah Abd Ghani dan Nur Aisyah Syakirah Ishak turut lemas namun sempat diselamatkan oleh anggota bomba dan orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Nur Aisyah Syakirah ditempatkan di Hospital Setiu manakala Nur Ain Najihah Abd Ghani dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

Mangsa merupakan pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Rahmat yang baharu selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada Khamis lalu.


Dalam pada itu, Azmi turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta bersabar dengan ujian Allah SWT.

 "Saya turut terkesan kerana mereka merupakan anak kepada jiran-jiran saya.

"Terima kasih kepada agensi yang terlibat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Unit Skuba, Unit Amal PAS dan orang ramai yang menjayakan misi mencari dan menyelamat.

"Perbincangan peringkat daerah akan dibuat bersama Pegawai Daerah Setiu dan Penyelaras DUN Permaisuri agar tindakan diambil untuk menjaga keselamatan pengunjung dan mengatasi kes seperti ini berulang, " ujar beliau lagi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: