Thursday, 18 October 2018

Cawangan Mini YPU Bakal Beroperasi Setiap DUN

SHARE
Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, 

HULU TERENGGANU - Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bakal menjadikan pusat khidmat masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri sebagai cawangan mini YPU bagi menyalurkan bantuan dan maklumat kepada orang ramai tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, inisiatif itu sedang disusun atur supaya dapat beroperasi sepenuhnya sebelum tahun depan dan dijangka akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada 3 Disember ini.

Katanya, pihaknya sudah merangka kertas kerja termasuk mengadakan mesyuarat untuk menjadikan 32 pusat khidmat masyrakat seluruh Terengganu itu sebagai pusat sehenti demi kebaikan rakyat untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan perniagaan dan keusahawanan.

"Pelaksanaan ini juga bertujuan untuk memperkasakan pusat khidmat masyarakat itu sendiri untuk menjadi tempat rakyat mendapat segala maklumat tanpa perlu pergi ke pusat bandar.

"Untuk itu, kita akan melatih dan menghantar dua hingga tiga orang kakitangan untuk menguruskan cawangan mini itu nanti,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) di Program Santai Exco Bersama Usahawan Peringkat DUN Kuala Berang di Rumah Rehat Kuala Berang , di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Haji Muhyidin Abd Rashid serta lebih 80 usahawan tempatan.

Menurut Mohd Nurkhuzaini, kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk menjadikan cawangan mini itu sebagai wakil kepada agensi lain di bawah Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Kita akan adakan perbincangan dalam terdekat kerana ada permintaan dari agensi-agensi yang berada di bawah MSPUT supaya terdapat wakil dari pihak mereka di setiap PKM bagi mempermudahkan urusan orang ramai," tambah beliau lagi.

Sementara itu mengulas mengenai pelaksanaan manifesto PAS Terengganu untuk menyediakan Tabung Pinjaman Usahawan sebanyak RM10 juta setahun, beliau berkata pihaknya telah mendapat lampu hijau dari Menteri Besar.

"Kita sudah masukkan dalam cadangan Bajet 2019  dan ia bergantung kepada keadaan kewangan negeri.

"Jika ada kekangan,  kita akan buat secara berperingkat.. mungkin separuh dahulu dalam RM5 juta dan secara maksima pada tahun depan mengikut kesesuaian kewangan, yang pasti kita akan laksanakan apa yang dijanjikan mengikut kadar kemampuan (kewangan)," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: