Wednesday, 17 October 2018

Bumbung Raja, Lokasi Perkelahan Bersejarah Jadi Tarikan Di Dungun

SHARE
Ghazali menunjukkan kawasan yang dikatakan pernah menjadi kawasan istirahat diraja di Bumbung Raja


Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN- Bumbung Raja yang terletak di Kampung Pasir Raja, Dungun merupakan lokasi perkelahan menarik dan bersejarah mampu menambat hati pelancong sekali gus meneroka destinasi menarik yang ada di kawasan tersebut.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata lokasi perkelahan itu dahulunya mempunyai cerita dan sejarah tersendiri kerana ia merupakan tempat persinggahan dan tempat beristirahat DiRaja.

"Dahulu di tepian sungai ini, ada dibina pentas DiRaja dan disinilah dipasangnya khemah-khemah raja untuk mereka berehat.

"Cerita itu telah diceritakan satu generasi kepada generasi yang lain dan sebab itulah kisahnya sentiasa diingati oleh penduduk di sini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wakil Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI), ketika meninjau kawasan berkenaan pada Isnin, 15 Oktober.

Menurut Ghazali, rakyat biasa dahulu dilarang menangkap ikan di sini kerana apabila tertangkap, mereka akan dimurkai oleh raja diatas kesalahan tersebut.

"Kawasan di sini akan sesak dengan pengunjung semasa cuti persekolahan samada penduduk tempatan atau dari luar.

"Destinasi ini biasanya akan menjadi pilihan kedua, selepas lokasi perkelahan Lubuk Kain sekiranya sesak maka pengunjung akan memilih untuk datang kesini,"katanya lagi.

Beliau amat berkeyakinan bahawa tempat ini, akan menjadi destinasi perkelahan utama sekiranya dimajukan dengan sedikit penambahbaikan untuk menarik lebih ramai pengunjung.

"Diantaranya, pihak berkaitan perlu menggantikan papan tanda yang telah pun usang.

"Dan aspek-aspek keceriaan perlu ditingkatkan, kerana persekitaran kawasan yang tidak ceria akan menampakkan ianya kelihatan suram," ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: