Tuesday, 2 October 2018

Buaian Pantai Khas Untuk Kanak-Kanak

SHARE
Ariffin Deraman.
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar membuat pemeriksaan keselamatan terhadap semua buaian pantai yang diperbuat daripada kayu.

Ini kerana, berlaku satu insiden buaian pantai yang terletak di Pantai Peranginan Teluk Ketapang, Seberang Takir yang terbalik dan menimpa seorang penggunanya pada 30 September lalu.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, insiden buaian itu benar-benar berlaku dan arahan kepada pihak PBT membuat pemeriksaan telah dijalankan.

“Memang video itu tulen dan pengguna telah berkongsi kejadian yang dirakamkan itu secara tidak sengaja, dan ada bahagian tiang itu yang menimpa kepala seorang wanita (mangsa).

“Kita juga telah arah pihak PBT supaya periksa dan pantau semua buaian pantai yang terdapat di pusat-pusat peranginan pantai, supaya tidak berulang lagi,” jelasnya ketika ditemui selepas Kursus Pengurusan Undang-Undang Tanah, Protokol dan Sistem e-Dewan kepada semua ADUN, di Primula Hotel (1 Oktober).

Namun, kata Ariffin, beliau difahamkan mangsa seorang wanita dewasa tidak mengalami sebarang kecederaan serius akibat insiden itu.

Menurutnya, buaian pantai yang terdapat di pantai-pantai peranginan negeri ini hanya dikhaskan kepada golongan kanak-kanak sahaja.

“Sebenarnya, buaian ini dikhaskan untuk kanak-kanak di bawah pengawasan orang dewasa atau ibubapa. Jadi, apabila orang dewasa yang bersaiz besar guna mungkin tidak sesuailah.

“Kita akan letak papan tanda khas untuk perhatian pengguna buaian pantai, yang diperbuat daripada kayu itu, insya-Allah,” ujarnya.

Katanya, buaian pantai yang agak besar itu dipasang di Pantai Teluk Ketapang, Pantai Batu Burok dan lain-lain bagi menarik minat pengunjung kanak-kanak.

SHARE

Author: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: