Wednesday, 31 October 2018

Bilik Gerakan Dan Pusat Perpindahan Main Peranan Ketika Banjir

SHARE
Mesyuarat Bencana Banjir Sektor Jerangau diadakan di Balairaya Kampung Dendang, semalam.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 31 Oktober - Fungsi bilik gerakan dan pusat perpindahan amat penting semasa berlakunya bencana banjir.

Penghulu Mukim Jerangau, Abdul Ghafar berkata, Bilik Gerakan Balai Polis Jerangau akan digunakan sebagai Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

"Ianya akan turut berperanan sebagai operasi bencana bagi Sektor Mukim Jerangau.

"Pusat Kawalan Operasi ini akan diketuai oleh Penolong Pentadbiran Tanah Daerah Dungun.

"Ketua Polis Balai Jerangau telah dilantik sebagai Ketua Komander.

"Manakala Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al Muktafi Billah Shah telah dilantik sebagai Timbalan Komander, dan saya sendiri (Penghulu Mukim) telah dilantik sebagau setiausaha bagi Pusat Kawalan Tempat Kejadian," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Bencana Banjir Sektor Jerangau, di Balairaya Kampung Dendang, semalam.


Menurut Abdul Ghafar, bagi Pusat Kawalan Bencana (PKOB), ianya telah dipilih dan ditentukan oleh Jawatankuasa Bantuan dan Pengurusan Bencana Daerah Dungun.

"Bagi pusat ini, ianya akan dikendalikan oleh urusetia dan petugas, di mana mereka akan menerima laporan dari pusat perpindahan serta orang ramai, bagi mengetahui keadaan semasa mengenai banjir.

"Maklumat yang didapati itu akan disalurkan kepada Jawatankuasa Bantuan dan Pengurusan Bencana Daerah, untuk diambil tindakan secepatnya berkaitan perbekalan dan keperluan utama," katanya.

Sehubungan itu, semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diminta agar menubuhkan jawatankuasa kecil pengurusan banjir komuniti masing-masing yang terlibat banjir.

Dalam perkembangan sama, tambahnya, mangsa-mangsa yang berada di pusat perpindahan perlu dilaporkan dari masa ke masa di samping keadaan semasa banjir juga perlu dilaporkan.

"Segala perbekalan, penyediaan bekalan makanan dan pengangkutan yang digunakan perlu dilaporkan semasa di pusat perpindahan.

"Selain itu, keadaan kebersihan penginapan, kesihatan mangsa perpindahan, keselamatan mangsa dan pemulihan selepas banjir hendaklah dilaporkan," tegasnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: