Tuesday, 2 October 2018

Bantuan Bukan Hak Mutlak

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah berucap dalam Majlis Penyampaian Skim Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payung.
Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

MARANG - Sebarang bantuan adalah bukan hak mutlak tetapi bersifat sementara kerana ianya bergantung kepada kelayakan penerima.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, sebarang bantuan akan dihentikan jika seseorang tidak lagi layak menerima bantuan seperti ibu tunggal yang telah berkahwin, kematian dan sebagainya.

"Kita berusaha memberi bantuan kepada pihak yang layak seramai mungkin dengan sewajarnya.

"Sebarang masalah boleh berhubung dengan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payung.

"Kami cuba sedaya upaya memudahkan urusan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Skim Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payung (2 Oktober).

Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berharap supaya masyarakat juga memberikan kerjasama  yang baik ketika berurusan dan melengkapkan butir yang diperlukan.

"Pemohon juga perlu bersabar kerana ianya memerlukan beberapa prosedur," jelasnya.

Beliau turut menyerahkan bantuan wang tunai kepada sepuluh orang penerima dari penduduk DUN Bukit Payung.


Antara yang turut hadir dalam majlis ini adalah wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Zalina Sulong dan Azrul Hisham A Kadir serta Penyelia i-Mits DUN Bukit Payung, Haji Mat Noh Ismail.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: