Wednesday, 24 October 2018

Atlet Sukma Terima Insentif RM995,000

SHARE
Dr Samsuri bersama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi (kiri), Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A.Rahman Yahya dan Chef de Mission, Samiun Salleh bersama para atlet.
KUALA NERUS, 24 Oktober - Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu yang berjaya merealisasikan misi ‘Win Back Mission’ menerima insentif berjumlah RM995,000 daripada kerajaan negeri.

Dalam SUKMA yang berlangsung di Perak, kontinjen Terengganu berjaya meraih 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa sekaligus mengulangi pencapaian sebagai juara keseluruhan setelah kali terakhir melakukannya di SUKMA 2012 di Pahang.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif yang diberikan ialah penghargaan kepada para atlet yang telah mengangkat nama negeri di persada sukan negara.

“Walaupun mereka mungkin layak menerima nilai yang lebih baik, hanya ini nilai dapat kita sediakan buat masa ini.

Kerajaan negeri berusaha merangka strategi supaya kerjaya sukan mereka boleh dipertingkatkan di mana hasilnya akan melebihi jangkauan nilai yang diberikan hari ini dan lebih berkekalan,”  katanya kepada pemberita ketika hadir hadir di Majlis Penyampaian Insentif Temasya SUKMA Perak 2018 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, semalam.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan kali ini.
Kesungguhan atlet jayakan misi Win Back Mission.

“SUKMA 2018 sangat bermakna. Ia menjadi batu tanda baharu bahawa Terengganu mampu melahirkan sang juara yang dibanggakan seluruh rakyat.

“Kita mengimpikan juara-juara ini akan membawa Negeri Terengganu ke peringkat seterusnya sekaligus mewakili negara di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan hari ini hasil daripada dedikasi dan komitmen menyeluruh dari semua pihak. Ahli-ahli yang berhormat, bapa dan jabatan angkat, majlis sukan negeri, pengurus pasukan, persatuan sukan negeri dan pihak lain yang terlibat, anda adalah juara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Samsuri sempat berpesan supaya pasukan Terengganu Football Club 1 (TFC I) berjuang bersungguh-sungguh dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung hujung minggu ini.

“Ramai pihak dan netizen mencadangkan kerajaan negeri supaya memberikan imbuhan sekiranya mereka berjaya mendakap Piala Malaysia. Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat terlebih dahulu.

“Insya-Allah, kita tidak akan membiarkan usaha mereka tanpa penghargaan. Cuma, bentuk ganjaran itu akan kita maklumkan kemudian,” katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: