Wednesday, 10 October 2018

Asyura Pengikat Ukhuwah Warga Seberang Takir

SHARE
Haji Fazil (kanan) mengacau bubur Asyura ketika ditemui di program ‘Kuca Sure’ peringkat DUN Seberang Takir. 
Oleh: Hailmey Mansor

KUALA NERUS - Bubur Asyura sinonim dengan kedatangan tahun baru Islam iaitu awal Muharram yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim para penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fazil Wahab berkata, beliau berasa senang hati melihat keramahan dan kerjasama yang ditonjolkan oleh para peserta.

"Ianya dapat merapatkan lagi hubungan untuk saling kenal antara satu sama lain," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program ‘Kuca Sure’ peringkat DUN Seberang Takir anjuran Pejabat Penyelaras DUN Seberang Takir dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Seberang Takir dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kawasan tersebut di Pusat Khidmat DUN, Kampung Duyung (6 Oktober).

Menurutnya, program ini merupakan program tahunan DUN.

“Kita sentiasa adakan program ini setiap tahun.

"Cuma, berbeza sedikit pada kali ini kerana kita buat selepas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya menawan kembali Negeri Terengganu ini," ujarnya.

Program ini juga mendapat kerjasama Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir dan Pusat Rawatan Islam Darussyifa Kuala Nerus.


Turut hadir sama, Pengarah i-MiTS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah, Ketua Penolong Pengarah  Daerah Kuala Nerus, Haji Zulwislan Awang, dan Pengarah MTD Seberang Takir, Haji Zakaria Dagang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: