Saturday, 13 October 2018

Akal Yang Sihat Bersama Tubuh Badan Yang Sihat

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah melakukan senamrobik bersama peserta Hari Sukan Negara Daerah Marang. Foto - Aslam Wira
Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

MARANG - Islam tidak mengetepikan serta menafikan tentang keutamaan sukan malah telah diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW sehingga wujud pepatah Arab yang menyebut “akal yang sihat bersama tubuh badan yang sihat".

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau berharap dengan adanya Hari Sukan dan kempen dari semua pihak termasuk jabatan yang berkaitan dapat memberi suatu galakan kepada semua lapisan masyarakat.

"Ianya bertujuan supaya masyarakat menitik beratkan kesihatan dengan bersukan.

"Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada seluruh atlet yang telah mewakili negeri yang berjaya menjulang Terengganu sebagai juara di dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, baru-baru ini.

"Saya turut menyambut baik komitmen yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam meneruskan penambahbaikan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak.

"Ianya bagi memberikan kemudahan kepada atlet-atlet negeri ini bagi meningkatkan lagi kejayaan sukan Negeri Terengganu," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Sukan Negara 2018 Peringkat Daerah Marang di Dataran Bandar Marang, hari ini (13 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, antara aktiviti yang diadakan pagi ini adalah senamrobik, 'fun run' sejauh tiga kilometer dan cabutan bertuah.

Seramai kira-kira 400 orang peserta memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara termasuk penduduk sekitar, pelajar sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).


Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris, Pegawai Daerah Marang, Mat Azmi Arshad, Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Wahad Osman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Mohd Shamsir Mohd dan anggota keselamatan serta kakitangan jabatan berkaitan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: