Tuesday, 30 October 2018

Abe Kemah, Mek Comel, Anok Jujuk Usaha Kerajaan Bentuk Keluarga Sejahtera

SHARE
Mohd Nor Abdullah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Khairiah Mokti (kanan).
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Kerajaan Terengganu komited dalam usaha membentuk keluarga yang sihat sejahtera dan harmoni seiring dengan dasar Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) iaitu maju, berkat dan sejahtera.

Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan program-program keibubapaan yang diharapkan dapat memberi impak kepada ibu bapa khususnya di negeri Terengganu.

"Setiap insan berkeinginan untuk membina keluarganya sendiri iaitu melalui sebuah perkahwinan. Pada asasnya, perkahwinan adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan sebahagian daripada hukum Allah. Melalui perkahwinan ini, maka terbentuklah sebuah keluarga yang mana setiap pasangan tersebut  mengimpikan sebuah keluarga yang dilengkapi zuriat yang sihat lagi menceriakan.

"Namun begitu, ketentuan Ilahi kadangkala mengatasi segalanya. Ada yang mudah mendapat zuriat dan ada yang terpaksa melalui pelbagai rintangan untuk memiliki zuriat. Usaha tanpa putus asa memungkinkan keajaiban berlaku selaras dengan doa pasangan tersebut kepada Yang Maha Esa.

"Dianggarkan sekitar 10 hingga 15 peratus pasangan di seluruh dunia menghadapi masalah untuk hamil. Isu subfertiliti pernah diketengahkan semasa International Conference on Population And  Development (ICPD, 1994). Justeru  dalam Program Tindakan ICPD, subfertiliti merupakan salah satu komponen penting dalam penjagaan kesihatan reproduktif dan isu subfertiliti ini perlu ditandatangani oleh semua negara," ujarnya.

Katanya, subfertiliti atau ketidaksuburan adalah sesuatu yang kompleks dan ianya dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti masalah berkaitan sistem reproduktif wanita atau lelaki.  Gaya hidup tidak sihat seperti merokok, obesiti, permakanan tak seimbang, pencemaran alam sekitar dan tekanan hidup merupakan antara pencetus kepada terjejasnya tahap kesuburan seseorang manusia.

"Penurunan kesuburan pada hari ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti melewatkan perkahwinan, peningkatan wanita dalam institusi pengajian tinggi dan pasaran pekerjaan serta peningkatan kos sara hidup yang tinggi antara punca utama pasangan melewatkan pembentukan keluarga dan menambah bilangan anak.

"Ini dibuktikan apabila penemuan utama Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) mendapati, tiga alasan utama mengapa penduduk bujang melewatkan perkahwinan adalah disebabkan oleh masalah kewangan, kesukaran mencari pasangan yang sesuai, dan kemajuan kerjaya," jelasnya.



Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan oleh Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita kepada Menteri Besar, Hajah Khairiah Mokti dalam Program Terengganu Parenting Tour 2018 (TePaT) atau Jelajah Keibubapaan Terengganu 2018, Ilmu Keluarga@LPPKN "Abe Kemah, Mek Comel, Anok Jujuk" di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, menurutnya, dari segi pendidikan dan pekerjaan, pemanjangan tempoh pendidikan hingga ke tahap tertiari dan memberikan lebih tumpuan terhadap kemajuan kerjaya menjadikan wanita lebih cenderung untuk melewatkan perkahwinan.

"Menangguhkan perkahwinan secara langsung akan memendekkan tempoh umur reproduktif dan menyebabkan kadar kesuburan semakin menurun. Penurunan kadar kesuburan juga berkait rapat dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa muda pada hari ini.

"Penemuan kajian Fertility at The Crossroad: Children Now, Later or Never yang dijalankan oleh LPPKN pada 2011 mendapati peningkatan kos pendidikan dan kedudukan kewangan semasa keluarga adalah antara faktor utama dalam menentukan keputusan isteri untuk menambah bilangan anak. Bagi ibu bapa muda pada hari ini, mempunyai anak bererti bersedia untuk menyediakan sumber kewangan yang mencukupi dari saat anak dilahirkan hingga tamat belajar di peringkat tertinggi.

"Oleh yang demikian, amatlah digalakkan pada mana-mana pasangan yang masih belum menimang cahaya mata untuk mencuba beberapa kaedah dan rawatan yang disediakan oleh Unit Perkhidmatan Klinikal Subfertiliti, Ibu Pejabat LPPKN, Kuala Lumpur atau mana-mana hospital atau pusat rawatan yang bertauliah sama ada di Negeri Terengganu atau di luar Negeri Terengganu," tambahnya.

Sementara itu, beliau juga mengharapkan supaya perubahan terhadap tahap kesejahteraan keluarga ke arah yang lebih baik dapat berjalan dengan baik.



"Saya ucapkan tahniah kepada LPPKN Negeri Terengganu, semua jabatan kerajaan serta individu yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakannya. Semoga usaha murni LPPKN Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu membina keluarga sejahtera di Malaysia amnya dan Terengganu khasnya mendapat barakah Ilahi," katanya.

Seramai kira-kira 210 peserta memeriahkan program tersebut.

Khairiah Mokti turut menyempurnakan gimik perasmian program tersebut.

Turut hadir, Pengarah LPPKN Terengganu, Muhamad Noh Abdullah, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Terengganu, Asma Mahiddin, Ketua Penolong Pengarah Kanan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Haji Gahfar Mamat dan Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr Nasuha Yaakob.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: