Sunday, 28 October 2018

1,000 Teknologi Melayu Bakal Terkumpul

SHARE
Ustaz Lutfi memberikan penerangan tentang mushaf al-Quran lama dan manuskrip Melayu yang dipamerkan di galeri Pondok Wakaf Anak Ayam.
Oleh: Haji Sazali Mohd Noor

PATTANI, 28 Oktober - Sebanyak satu ribu manuskrip berkaitan teknologi orang Melayu di nusantara akan dikumpulkan di sebuah pondok pengajian dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, catatan ilmu pengetahuan yang hebat itu berusia ratusan malah ribuan tahun.

“Berikutan lawatan kita ke pondok ini, ianya adalah satu pengalaman baru. Artifak berkenaan termasuk manuskrip dan al-Quran lama daripada orang Melayu sekarang ini.

“Ini sebenarnya bagi saya sendiri sebenarnya satu benda di luar pengetahuan umum, maknanya kita ada sebegini hebat teknologi orang Melayu zaman dulu yang hampir ribuan atau ratusan tahun dulu teknologinya adalah sebegini hebat,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pondok Wakaf, Kampung Sela Anak Ayam di sini, semalam.


Haji Mohd. Nurkhuzaini bersama rombongan 25 orang pelbagai agensi dan jabatan kerajaan negeri, dalam rangka lawatan ke wilayah umat Islam Selatan Thailand selama tiga hari, bermula semalam.

Sehubungan itu, Mudir pondok tersebut, Ustaz Muhammad Lutfi Ahmad Samae berkata, selain daripada pondok pengajian agama, terdapat galeri pameran al-Quran lama yang memuatkan tulisan tangan, manuskrip lama ilmu agama, pertukangan dan teknologi.

Antaranya, menurut beliau ialah catatan teknologi pelayaran, pembuatan senjata dan perubatan serta pengeluaran makanan.

“Selain daripada pondok di sini ada galeri, kita cari khazanah ilmu di alam Melayu dapat kerjasama daripada beberapa universiti di Malaysia.

“Cara penjagaan dan pemuliharaannya mendapat bimbingan dari Pustaka Al-Sulaimaniyah di Turki dan pihak muzium Malaysia.

“Ia juga mendapat sokongan daripada Raja Thailand yang telah memberikan kelulusan kepada pembinaan muzium baru,” jelasnya.


Oleh itu, kata beliau, pihak Kerajaan Turki telah menyumbangkan kewangan sebanyak RM 14 juta bagi membina sebuah muzium untuk mempamerkan bahan-bahan sejarah tersebut kepada masyarakat Thailand dan antarabangsa.

Justeru itu, Haji Mohd. Nurkhuzaini menambah, ia menjadi satu kebanggaan dan manfaat yang besar kepada orang Melayu.

“Usaha yang dibuat di bawah pondok (Ustaz) Lutfi ini, adalah bukan calang-calang oranglah yang boleh buat.

“Jadi rasa berbangga sangatlah kita anak Melayu yang ada di zaman milenium ini dapat tengok benda ini,” kata beliau.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: