Friday, 19 October 2018

10 Buah Rumah Rosak Dilanda Hujan Ribut - Azman Ibrahim

SHARE
Dr Azman Ibrahim (kanan) meninjau keadaan rumah yang rosak akibat hujan ribut.
BESUT, 19 Oktober - Hujan dan ribut yang melanda Jabi kira-kira jam 10 malam kelmarin menyebabkan 10 buah rumah di Kampung Tempinis, Bukit Tanah, Tasik Tok Lebai dan Pondok Paku mengalami kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau kebetulan berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco yang diadakan di Kuala Lumpur.

"Saya terus bergegas balik apabila dimaklumkan Jabi dilanda musibah ujian Allah.

"Pagi ini sempat menyantuni semua mangsa ribut dan tindakan pemulihan kerosakan rumah akan dilakukan segera.

"Terdapat rumah yang atapnya diterbangkan angin dan ada yang dihempap pokok tumbang," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam keadaan bertongkat sewaktu kunjungan ke rumah yang terlibat (18 Oktober).

Dalam pada itu, Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut mengarahkan semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Semoga semua mangsa ribut bersabar dengan ujian Allah dan Pusat Khidmat ADUN Jabi akan bersama membantu," jelasnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: