Friday, 21 September 2018

Terengganu 'Transparent' Urus Royalti

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail
Oleh: Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa, pengurusan kewangan negeri ini ‘transparent’ dan pihak luar tidak perlu bimbang.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan Terengganu juga memberi komitmen segala penerimaan hasil negeri terbuka kepada audit.

“Saya memberi komitmen bahawa terimaan apa jua hasil sama ada petroleum (royalti) ataupun hasil-hasil yang lain dan terbuka kepada audit. Setiap tahun kita (kerajaan) ada audit.

“Ianya begitu ‘transparent’ dan kita akan buktikan bahawa akaun itu boleh dan tidak ada unsur-unsur yang boleh menimbulkan kecurigaan dan kebimbangan, mana-mana pihak dalam pengurusan kewangan dari wang royalti atau sumber lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Iman, kelmarin (19 September).

Menurut Dr Samsuri, dalam kunjungan pertamanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ada menyebut pemberian balik royalti kepada Terengganu ‘direct’ ke akaun kerajaan negeri.

“Saya bersetuju dengan cadangan daripada Perdana Menteri bahawa, ini (royalti) adalah amanah rakyat, ini adalah wang negeri yang tidak harus digunakan oleh mana-mana parti politik.

“Ini kerana, ianya harus digunakan untuk kepentingan rakyat di sesebuah negeri (pengeluar minyak) itu,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya cadangan seorang pimpinan tertinggi parti agar wang royalti negeri Kelantan dan Terengganu, diagihkan sedikit kepada kawasan pilihan raya yang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertanding itu pendapat peribadinya.

“Itu adalah pandangan peribadi dan bukan keputusan daripada organisasi (parti). Kita juga ada menerima cadangan-cadangan yang lain sepanjang tempoh muktamar itu, dan cadangan-cadangan lain yang kita dapat dalam bentuk media sosial, 'facebook' dan sebagainya,” ujar beliau.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: