Wednesday, 12 September 2018

Tema Maal Hijrah 1440H Tepati Slogan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera

SHARE
Wan Hapandi Wan Nik (kanan) bersama para jemaah membacakan doa sempena Maal Hijrah.
Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN - Tema Maal Hijrah 1440 Hijrah iaitu 'Menyantuni Ummat, Membawa Rahmat' dilihat sangat bertepatan dengan slogan Terengganu Maju, Berkat Sejahtera.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik berkata, hijrah membawa maksud perubahan dan perubahan yang amat besar sedang berlaku di dalam kerajaan sama ada di peringkat negeri ataupun pusat.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita dapat melihat satu perubahan besar telah berlaku namun persoalan yang paling penting adalah apakah perubahan yang dibawa itu bersesuaian dengan kehendak rakyat.

“Kita di Terengganu akan memastikan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera akan dipraktikkan dalam setiap keputusan dan itulah perubahan yang sedang dilakukan agar ia bertepatan dengan kehendak syarak.

“Cara atau sistem lama yang diamalkan oleh kerajaan dahulu sedang dibaiki dan ditukar agar kebajikan rakyat akan lebih terjaga dan terjamin," tambahnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Daerah Dungun Tahun 1440H / 2018M di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, semalam (10 September).

Majlis bermula seawal jam 6:30 petang hingga jam 9:30 malam.

Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Dungun, Ustaz Zamri Nik dan Pegawai pegawai Kerajaan Daerah Dungun.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: