Monday, 24 September 2018

TDI Bantu Kos Susu, Lampin Warga Emas

SHARE
Maznah cuba mengejutkan ibunya Siti Abdullah yang mengidap penyakit angin ahmar sejak hampir tujuh tahun lalu.
KUALA TERENGGANU - Tabung Darul Iman (TDI) mula ditubuhkan ketika pemerintahan kerajaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu, satu penggal lalu dari tahun 1999 hingga 2004.

Namun, fungsi dan peranan TDI itu diteruskan ketika negeri diperintah oleh Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu selepas itu.

Peribahasa Melayu, ibarat ‘sirih pulang ke gagang’ tercapai dan Kerajaan Terengganu kini memanfaatkan sepenuhnya peranan TDI kepada rakyat di negeri ini.

Tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini (20 September) menemukan salah seorang penerima bantuan warga emas iaitu Siti Abdullah, 85, dari Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

Beliau menghidap penyakit angin ahmar yang menyerang seluruh bahagian kanan anggota badannya sejak tahun 2012.

Siti juga sebelum ini merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan yang kini di bawah jagaan anaknya.
  
Warga emas, Siti Abdullah merupakan penerima bantuan TDI berupa susu dan lampin pakai buang yang bernilai lebih RM1,200 sebulan.
 Anaknya, Maznah Mat Amin kini terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di sebuah sekolah di ibu negara, Kuala Lumpur bagi menjaga Siti Abdullah.

“Ibu saya, Siti Abdullah sakit diserang angin ahmar hampir tujuh tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lagi, dan saya masih ingat dia (ibu) tidak dapat mengundi pada tahun itu.

“Saya pula terpaksa berhenti kerja (pembantu sekolah) di Kuala Lumpur semata-mata hendak jaga ibu yang sakit ini,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut Maznah, ibunya itu tidak mampu bergerak sendiri dan hanya dibekalkan minuman susu khas sebagai tali hayat hidup.

Selain itu, katanya kos sara hidup yang diperlukan oleh Siti melebihi RM1,200 sebulan bagi pembelian susu dan lampin pakai buang.

“Setiap hari, ibu saya perlu tukar lampin pakai buangnya antara tiga hingga lima keping sehari dengan harga RM17.00 satu pek, dan 25 tin susu sebulan pada harga RM67.00 hingga 70.00 satu tin.

Justeru, Maznah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri dan TDI yang sudi membantu keluarga kami, semoga kerajaan rakyat ini terus ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’, insya-Allah,” ujarnya.

Dimaklumkan, melalui TDI ini kesulitan keluarga warga emas itu dapat dikurangkan kerana kos yang ditanggung itu mencecah RM1,240.90 sebulan.



Bagi sesiapa yang ingin menderma, boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Tabung Darul Iman, 563019258034.




SHARE

Penulis: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: