Thursday, 20 September 2018

SUKMA 2018: Muay, Tinju Serbu Pentas Akhir

SHARE
Pasukan Muay Terengganu bersedia bertarung dengan pihak lawan bagi merebut pingat emas petang ini. Foto: Harish Fadzillah Abu Kassim 


IPOH- Pasukan muay dan tinju Terengganu berada di landasan yang tepat untuk memungut pingat emas apabila masing-masing menghantar enam petarung dan lima petinju ke pentas akhir pertandingan.

Pasukan muay yang masih belum memiliki sebarang pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 itu berhasrat mengumpul sebanyak mungkin emas dalam perlawanan akhir petang ini.

Petang ini atlet muay, Muhammad Azizi Shamsuddin akan bersaing dalam acara 48kg-51kg lelaki menentang lawan dari Sarawak.

Nik Rahami Nik Mustafa (51kg-54kg lelaki), Muhammad Iffat Muizzuddin Mat Ripen (57kg-60kg lelaki), Mohd Fazzatkie Mohd Zaki (60kg-63.5kg lelaki) dan Muhammad Faaid Othman (67kg-71kg lelaki) akan turut bertarung pada perlawanan yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Grik.

Satu-satunya finalis wanita Terengganu, Che Halimah Haron pula akan menentang petarung tuan rumah dalam acara 54kg-57kg wanita.


Sukan Muay tidak dipertandingkan di SUKMA Sarawak dua tahun lalu.

Bagi sukan tinju, Terengganu akan bersaing dalam acara Fly Weight (52kg) menerusi Amirul Hakim Sakila, Light Weight (60kg) diwakili Mohamad Akram Rasit dan Light Welter Weight (64kg) menerusi Halim Izani Sulaiman.

Manakala dua petinju, Wan Muhammad Hanif Wan Zahalan dan Muhamad Syahriman Zahar masing-masing akan bertanding dalam acara Middle Weight (75kg) dan Light Heavy Weight (81kg) dalam perlawanan yang akan berlangsung esok di Bagan Datuk.

Sehingga kini, sukan tinju belum menyumbang pingat buat Terengganu. 

Pasukan tinju meraih satu emas, satu perak dan empat gangsa dalam temasya itu di Sarawak dua tahun lalu dan berhasrat memperbaiki catatan pada SUKMA kali ini.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: