Thursday, 13 September 2018

SUKMA 2018 : Wushu Lebur Rekod Raih Emas

SHARE

GOPENG - Terengganu melebur rekod  temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sejak 32 tahun lalu apabila pertama kali mengutip emas bagi acara wushu di Kolej Matrikulasi Gopeng, di sini, pagi ini.

Emas pertama wushu itu dihasilkan Wee Teck Siang, 18, bagi kategori sanda 60 kilogram lelaki selepas menewaskan Tan Xian Jun, dari Selangor menerusi tendangan knockout (KO).

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu berkata, atlet wushu berkenaan hanya disandarkan sekurang-kurangnya mendapat gangsa yang menjadi sasaran keseluruhan bagi acara wushu pada temasya kali ini.

"Alhamdulillah Teck Siang sudah berjaya memecahkan kebuntuan emas negeri sejak  SUKMA dianjurkan menerusi kategori Sanda yang baru diperkenalkan dalam temasya ini.

"Kita hanya sasarkan beliau untuk membawa pulang gangsa, sebaliknya anak Terengganu ini berjaya menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna untuk Terengganu," katanya ketika ditemui sejurus majlis penyampaian hadiah acara itu.

Turut hadir, Ketua Kontinjen Terengganu, Samiun Salleh.

Ibni berkata, rekod terbaik Terengganu bagi acara wushu adalah memperolehi pingat perak ketika temasya SUKMA Terengganu 2008.

Tambah beliau, kejayaan merangkul emas dihasilkan atlet dari Kuala Besut itu juga membuktikan latihan yang intensif dan komitmen semua pihak bagi memastikan sukan bukan tumpuan turut mampu memberikan pingat emas, akhirnya membuah hasil.

Beliau berkata, kejayaan beliau ini juga memecahkan monopoli atlet wushu dari negeri lain seperti Melaka dan diharap menjadi inspirasi buat semua atlet tanpa mengira acara sukan sekali pun.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: