Saturday, 15 September 2018

SUKMA 2018 : Terengganu Kekal Mendahului

SHARE

IPOH - Terengganu terus mencongak untuk bertahan sebagai pendahulu kedudukan pungutan pingat pada hari kelima temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak 2018, hari ini.

Sehingga jam 4 petang ini, Kontinjen Hanelang mengumpul keseluruhan 35 pingat dengan 13 emas, 12 perak dan 10 gangsa makin menjarakkan kedudukan dengan Pulau Pinang, di tangga kedua dengan kutipan 10 pingat emas, enam perak dan lima gangsa.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu berkata,  tiga emas terbaharu diraih masing-masing dari acara berbasikal lelaki dan wanita (kriterium) serta menembak.

Katanya, acara kriterium yang berlangsung di Taman Tasik Taiping, pada sebelah pagi tadi turut menghadiahkan dua pingat perak.

"Alhamdulillah atlet kita menunjukkan prestasi yang sangat luar biasa dan membuktikan keupayaan masing-masing termasuk melepasi sasaran ditetapkan kontinjen.

"Pada hari ini juga, ada beberapa sukan yang kita sudah melangkah ke suku akhir seperti futsal wanita dan ke separuh akhir bagi acara pentanque lelaki dan wanita. Doakan kejayaan atlet kita sekali gus misi bergelar juara keseluruhan tercapai,"katanya.

Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: