Tuesday, 18 September 2018

SUKMA 2018: Skuad Ragbi Peroleh Perak, Wan Hapandi Ucap Tahniah

SHARE
Pasukan Ragbi Terengganu yang berjaya meraih pingat perak dalam SUKMA 2018.
Oleh: Mohd Asraf

IPOH - Skuad Ragbi Lelaki Terengganu meraih pingat perak setelah tewas kepada Kelantan dalam aksi final saingan ragbi 7 sebelah (7s) lelaki di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 Perak.

Bapa angkat Skuad Ragbi Terengganu, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik menzahirkan rasa syukur terhadap pasukan ragbi di atas kejayaan membawa pulang pingat perak pada 16 September lalu.

“Saya mengambil peluang merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Pasukan Ragbi Terengganu bermula dari jurulatih hingga kepada pemain pemain.

"Mereka telah menunjukkan suatu usaha yang gigih sehingga mencapai kejayaan merangkul pingat perak dalam pertandingan tersebut," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri turut mengucapkan terima kasih kepada semua jawatankuasa serta mereka yang terlibat dalam usaha membangunkan sukan ragbi di Negeri Terengganu ini.

Dalam perkembangan yang sama, kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat bagi Skuad Ragbi Terengganu untuk mencipta kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

“Semoga dengan kejayaan ini akan menjadi suntikan semangat kepada pasukan ragbi agar mencipta kejayaan yang lebih tinggi di masa hadapan," tambahnya.

Sementara itu, skuad ragbi lelaki negeri telah diuji dengan penggantungan tunggak utama merangkap ketua pasukan mereka, Haikal Ibrahim kerana telah mendapat dua kad kuning pada perlawanan sebelum ini.

Bagi ketua jurulatih, Izaimi Zainuddin, beliau berpuas hati dengan prestasi anak didiknya untuk temasya yang berlangsung kali ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: