Wednesday, 12 September 2018

SUKMA 2018 : Sembilan Emas Sandaran Atlet Berbasikal

SHARE
Ibni (tengah) bersama penyumbang pingat pertama Terengganu bagi acara wushu Mohamad Afiq Danial Firdaus Chua, di temasya SUKMA 2018, hari ini. Foto Harish Fadzillah Abu Kassim

KUALA TERENGGANU - Sukan berbasikal menjadi taruhan terbaik kontinjen Terengganu untuk menuai emas dalam misi memburu juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19, di Perak yang bakal bermula Rabu ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, berkata sembilan kilauan pingat emas dalam acara berbasikal menjadi sandaran buat
kontinjen Terengganu kali ini.

"Ketika SUKMA edisi ke-18 di Sarawak pada 2016, skuad berbasikal Terengganu meraih 14 pingat emas dan menjadi penyumbang emas terbesar buat kontinjen negeri.

"Ketika SUKMA 2014 di Perlis, sukan kanu menjadi lubuk emas buat Terengganu apabila menggondol 14 pingat, manakala di Kuala Lumpur pada 2013, kita berjaya meraih 12 pingat emas.

"Jadi, dalam temasya di Perak ini, selepas kanu tidak dipertandingkan, kami harap skuad berbasikal mampu mengulangi pencapaian itu dan menjadi penyumbang terbesar pingat emas serta berjaya mencapai sasaran diidamkan," katanya.

Selain acara berbasikal, sukan memanah, pelayaran dan judo turut menjadi sandaran terbaik untuk memburu sekurang-kurangnya lima pingat emas bagi setiap acara sukan itu.

"Kita turut menyasarkan sekurang-kurangnya tiga kutipan pingat emas dalam sukan angkat berat, menembak, pencak silat dan taekwondo,” katanya.

Sukan boling padang, sepak takraw, petanque dan tinju juga menjadi sasaran MSNT mengutip dua pingat emas, manakala gimnastik, hoki, golf, muay thai serta ibu segala pingat iaitu bola sepak masing-masing menjadi sandaran untuk menambah satu lagi pingat emas.

Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini.

Sumber : Berita Harian Online 
SHARE

Author: verified_user

0 komen: