Saturday, 22 September 2018

SUKMA 2018: Rahsia Kejayaan Terengganu

SHARE
Pembangunan kerohanian rahsia kekuatan mental atlet.
IPOH - Kejayaan kontijen Terengganu mengungguli kedudukan teratas pungutan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 membuka mata banyak pihak tentang kejayaan pembangunan sukan yang melahirkan banyak bakat baru untuk negara.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSNT), Ibni Amin Busu menyifatkan kejayaan tersebut dibantu banyak aspek dari segi pengurusan atlet oleh pentadbiran MSNT.

"Kita membuat pembangunan berdasarkan acuan pembangunan peringkat kebangsaan yang disesuaikan dengan atlet-atlet negeri.

Ibni Amin.
"Saya terlibat dalam menyediakan atlet negara untuk Sukan Komanwel 1998 dan resepi pembangunan itu dibawa ke Terengganu.

"Namun, kami melihat ada kekosongan dalam program tersebut dan kami masukkan program kerohanian sebagai salah satu aspek pembangunan atlet," katanya ketika ditemui pemberita pagi ini di penginapan Kontinjen Terengganu, Hotel Seri Malaysia, Ipoh.

Ibni memberitahu bahawa kekuatan rohani adalah benteng terkuat dalam diri atlet bagi memastikan mental, emosi dan fizikal mereka bersedia untuk tampil di pentas pertandingan serta berdepan pesaing masing-masing.

"Sebahagian besar atlet akan berkembang dan mewakili negara di peringkat lebih tinggi. Ketika itu, mereka perlu mengawal tekanan sendiri tanpa bantuan orang lain.

"Jadi kita memikirkan kekuatan ini perlu dilatih dari peringkat pembangunan lagi. Kita terapkan program keagamaan di mana guru-guru agama bukan sahaja memimpin program tetapi mendidik atlet dengan panduan ibadah.

"Dalam SUKMA kali ini, kita laksanakan program solat berjemaah oleh tidak kurang daripada empat ustaz yang kami bawa.

"Kita juga terapkan tazkirah ringkas dan doa sebelum masuk ke gelanggang bagi meningkatkan keyakinan atlet," katanya.

Bagi atlet bukan Islam pula, beliau berkata. jurulatih dan guru bukan muslim akan memberikan motivasi dalam pendekatan agama masing-masing.

Program ini banyak membantu merangsang dan membentuk keyakinan atlet walaupun berdepan cabaran dalam acara yang disertai.

Hasilnya, Kontinjen Terengganu berjaya mengumpul 53 emas 48 perak dan 51 gangsa dengan pada hari terakhir SUKMA ke-19 ini dan dijangka menggondol gelaran juara keseluruhan bagi kejohanan kali ini.

Pengisian sebelum dan selepas pertandingan bina keyakinan atlet.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: