Sunday, 2 September 2018

SUKMA 2018 : Perak Sedia Sambut Kunjungan 11,000 Atlet

SHARE


Foto: Syaiful Mustafa

KUALA TERENGGANU –Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19, Perak kini melebihi 90 peratus persiapan akhir dan bersedia menerima kehadiran hampir 11,000 atlet dan pegawai ke temasya dwi tahunan yang akan bermula 12 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zukarnain Abd Munaim berkata, jumlah itu melibatkan 12 kontinjen yang menyertai 29 acara sukan keseluruhannya di 12 lokasi seluruh Perak.

Katanya, satu pertiga acara akan berlangsung di Daerah Kinta dan Ipoh, sementara acara perasmian pula bakal berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada 11 September ini.

“Dalam tempoh baki yang ada tidak kurang daripada 11 hari lagi kita akan mempergiatkan promosi dalam media utama seperti RTM dan TV3,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Kunjung Hormat Penganjuran SUKMA Edisi Ke-19 Perak 2018 di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin (30 Ogos).




Tambah beliau, majlis penutup temasya itu akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu juga, beliau berharap SUKMA yang berlangsung di Perak buat kali kedua selepas penganjuran pertama kali pada 1994 lalu, adalah yang terbaik sepanjang penganjuran temasya itu di negara ini.

“Saya berasa`agak gerun' juga hadir ke Negeri Terengganu kerana Terengganu punya rekod yang sangat baik dalam SUKMA ini kerana beberapa kali menjuarai juara keseluruhan SUKMA.

“Kita sedia maklum rekod inilah menyebabkan kerajaan negeri (Terengganu) meletakkan sasaran untuk merampas semula kejuaran SUKMA pada tahun ini,” katanya lagi.



Menurut Hasnul lagi, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis jamuan bagi meraikan atlet  Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, pada 20 September ini.

Katanya, jamuan yang bakal meraikan 50 orang atlet dan 15 pegawai menjadi acara istimewa buat tuan rumah dan tetamu yang hadir sempena penganjuran sukan itu nanti.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: