Monday, 17 September 2018

SUKMA 2018: Pasukan Menembak Bidik Tiga Pingat

SHARE

Safirredzuan merangkul pingat emas selepas menewaskan pasukan Pahang. Foto: Harish Fadzillah Kassim

IPOH: Memasuki hari ketujuh Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19, pasukan menembak menambah pungutan pingat buat Terengganu dalam pertandingan yang berlangsung di Kompleks Menembak Amanjaya di sini, hari ini.

Dalam acara 25M Standard Pistol Individu lelaki, Safirredzuan Salim merangkul pingat emas setelah menewaskan lawan dari Pahang, Low Wei Chern dengan kutipan 548 mata.

Manakala, rakan sepasukan beliau, Nik Muhammad Luqman Nik Omar meraih gangsa dalam acara sama dengan kutipan 543 mata.

Sementara itu, Terengganu berjaya memungut pingat perak dalam acara 25M Standard berpasukan lelaki.
Nik Muhammad Luqman.

Trio yang disertai Safirredzuan dan Nik Muhammad Luqman bersama Muhammad Amirul Hisyam Luxman mengutip 1588 mata, 12 mata dibelakang pendahulu, Pahang.

Pengurus pasukan, Tuan Mamat Tuan Ngah berkata, kemenangan yang dicapai hari ini merupakan bonus kepada pasukan.

"Bagi acara ini, kami tidak meletakkan sebarang sasaran pingat. Namun tiga pingat yang diperoleh memberi semangat kepada pasukan dalam baki saingan.

"Kita mensasarkan pungutan pingat untuk saingan esok dan lusa. Insya-Allah, dengan doa dan sokongan keluarga dan rakyat Terengganu sasaran itu akan dapat dicapai," katanya.

Semalam, pasukan menembak terlepas peluang meraih pingat dalam acara 10M Air Raifal lelaki berikutan masalah teknikal.

Pasukan menembak telah menyumbang dua emas, tiga perak dan satu gangsa dengan saingan berbaki dua hari.

Safirredzuan turut menyumbang pingat perak semalam melalui acara 25M Rapid Fire individu lelaki.

SUKMA edisi ke-18 di Sarawak dua tahun lalu, skuad menembak berjaya membawa pulang 15 pingat keseluruhan dengan empat emas, tujuh perak dan empat gangsa.
Trio menembak Terengganu.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: