Tuesday, 18 September 2018

SUKMA 2018: Panahan Saiful Lakar Kejutan

SHARE

Muhammad Saiful Islam

SERI ISKANDAR- Pemanah Terengganu, Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuan, 14, mengembirakan pasukan Terengganu apabila panahannya dalam 30M Recurve individu lelaki menghasilkan pingat emas di Padang Universiti Teknologi Petronas, di sini, semalam.

Beliau juga berjaya meraih pingat perak bagi acara 50M Recurve individu lelaki yang berlangsung pada sebelah pagi semalam.

Remaja berasal dari Kuala Nerus itu menceburi sukan memanah selepas melihat sepupunya, Muhammad Izzat Haziqi Abdul Halim terpilih mewakili negeri dalam sukan tersebut.

"Ibu bapa saya juga memberi galakan dan sokongan bergiat dalam sukan ini. Bahkan, adik saya juga mula menceburi bidang ini," katanya.
Ketua kontijen dan penolong penasihat pasukan meraikan kejayaan skuad memanah. 

Penyertaan pada edisi ke-19 ini merupakan kejohanan pertama  dan kemenangan itu amat bermakna sebagai platform untuknya terus mencipta kecemerlangan.

"Kegembiraan ini saya kongsikan bersama ibu bapa, teman-teman dan jurulatih yang menyokong dan menyakini keupayaan saya," kata pelajar Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot itu.

Dalam pada itu, pasukan memanah turut meraih pingat emas dalam 30M Recurve individu wanita melalui Nu Aqilah Yusof.

Pencapaian itu sehingga semalam, menyaksikan Terengganu terus mendahului kedudukan pingat dengan 24 emas, 22 perak dan 22 gangsa.

Nur Aqilah turut raih emas memanah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: