Friday, 14 September 2018

SUKMA 2018: Lima Emas Petanda Baik

SHARE
Ustaz Hilmi (kiri) dan Tengku Farok meraikan kemenangan Fakrul Adam yang meraih pingat emas di SMJK Krian, semalam. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Oleh: Ahmad Mawardi

KERIAN - Lima pingat emas dari acara judo merupakan petanda terbaik untuk Terengganu mencipta kejayaan mencapai misi mengembalikan kejuaraan pada temasya edisi ke-19 ini.

Bapa angkat pasukan judo Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata,  kejayaan merangkul emas tertinggi itu membawa Terengganu ke kedudukan teratas pungutan pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA), sehingga semalam.

Katanya, pencapaian itu juga memberi petunjuk terbaik untuk judo terus mendominasi SUKMA edisi ke-20 nanti.

Lima pemenang pingat emas judo, Fakrul Adam Jose M Cruz @ Fauzi Cruz, Nur Ain Hafieza Amran, Alya Yasmeen Rosali, Mohamad Aizul Hilmi Zainudin dan Muhammad Izham Harun.

Empat pingat perak pula diraih oleh Nik Mohd Alfian Nik Azman, Mohd Alif Asnawi Azman, Nurul Safiqah Mohd Raslin dan Intan Nur Hayati Mahathir.

Manakala pingat gangsa pula hadir menerusi Muhammad Fizwan Abdur Rahman, Nasuha Mohd Khairi, Zuraida Ahmad dan Muhammad Nur Muizzudin Mahsan.


"Kejayaan tersebut menjadi penyuntik semangat untuk mereka dan seluruh kontinjen sukan Terengganu dan mencipta kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

“InsyaAllah kita berharap ada peningkatan pingat emas atlet judo dengan meningkatkan semangat dalam latihan dan memulakan persediaan awal untuk SUKMA di Johor pada 2020 akan datang,"katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis Krian, di sini, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Samiun Salleh merangkap Ketua Kontinjen Terengganu dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil yang juga Timbalan Ketua Kontinjen.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu.


Acara seni bela diri berkenaan yang bermula Rabu dan berakhir hari ini  menawarkan keseluruhan 16 pingat emas, 16 perak dan 32 gangsa.

Pasukan judo Terengganu diperkuatkan di bawah ketua jurulatih Marjan Abdullah dan dibarisi 18 atlet mensasarkan lima emas, dua perak dan lima gangsa sepanjang temasya kali ini.

Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: