Thursday, 13 September 2018

SUKMA 2018 : Judo Lubuk Emas Terengganu

SHARE

KERIAN - Judo mengekalkan status sebagai  'lubuk emas' untuk Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) apabila berjaya meraih pungutan emas tertinggi pada temasya edisi ke-19 ini, seterusnya mampu merealisasikan hasrat mengembalikan kejuaraan SUKMA untuk kali kelima.

Terengganu menggondol lima pingat emas, empat perak dan empat gangsa daripada keseluruhan 16 emas yang ditawarkan dalam persaingan selama tiga hari yang bermula semalam, di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Krian, di sini.

Ketua jurulatih judo Terengganu, Marjan Abdullah berkata, kejayaan itu membuktikan anak didiknya mencapai sasaran ditetapkan pada SUKMA kali ini.


"Secara peribadi, saya sedikit kecewa kerana saya sendiri sebenarnya sasar lapan emas, namun akhirnya dapat hasilkan lima emas kerana beberapa masalah teknikal.

"Bagaimanapun lima emas masih menepati sasaran negeri dan pasukan untuk edisi SUKMA ini. Alhamdullah mereka (atlet) menunjukkan prestasi terbaik," katanya ketika ditemui sejurus majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang acara itu.


Dua emas hari ini diraih Alyaa Yasmeen Rosali dan Fakhrul Adam Jose M Cruz melengkapkan koleksi lima emas keseluruhan dengan tiga emas dihasilkan semalam oleh Nur Ain Hafieza Amran,  Mohamad Aizul Hilmi Zainudin dan Muhammad Izham Harun.


Manakala empat perak menerusi Nurul Safiqah Mohd Raslin, Nik Mohd Alfian Nik Azman, Mohd Alif Asnawi Azman dan Intan Nur Hayati Mahathir.

Empat lagi pingat gangsa pula disumbangkan Muhammad Fizwan Abdur Rahman, Nasuha Mohd Khairi, Zuraida Ahmad dan Muhammad Nur Muizzudin Mahsan.


Marjan yang juga ketua jurulatih judo kebangsaan berkata, walaupun pencapaian edisi ini sedikit merosot berbanding SUKMA 2013 dengan kutipan tujuh emas, sasaran terkini itu tetap rasional dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Pada masa yang sama, skuad Hanelang tetap berada di landasan sebenar untuk mengekalkan penguasaan bagi acara itu dengan hampir keseluruhan atlet masih layak meneruskan saingan pada temasya SUKMA akan datang.


Tambah beliau, skuadnya diperkuat dengan 20 atlet termasuk pelapis dan atlet muda menerusi kendalian tiga jurulatih lain, Mohd Hadi Musa, Nor Izzatul Fazlia Mohammad dan Nor Asnida Abd Razak.

Menurutnya, selain SUKMA, pasukan judo Terengganu turut dikenali sebagai kuasa besar sukan itu di negara ini dengan rekod juara kali ketujuh pada Kejohanan Judo Kebangsaan ke-55 Mac tahun lalu.

SUKMA 2018 berlangsung dari 12 hingga 22 September ini menawarkan 427 pingat emas yang melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut bermula SUKMA 2008, 2010, 2011 dan 2012 mensasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa pada temasya kali ini.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: