Thursday, 20 September 2018

SUKMA 2018: Hujan Emas Di Lumut

SHARE
Pasukan pelayaran Terengganu.

LUMUT- Hari terakhir sukan pelayaran yang dipertandingkan hari ini menyaksikan Terengganu mengumpul lapan emas dan tiga perak di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) petang ini.

Pingat emas dihadiahkan menerusi acara Laser Standard diwakili Asri Azman, Laser Radial (Asmawi Azman), International 420s lelaki (Abdul Latif Mansor dan Alif Safares Azmi) dan International 420s wanita (Al Yauma Akma Zukifeli dan Situ Nurfatihah Norulakhairi).

Manakala RS: One lelaki (Illham Wahab) dan wanita (Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman) serta Windsurfing Bic Techno lelaki (Muhammad Izzuddin Abdul Rani) dan wanita (Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen) mengumpul empat emas.

Pelayar Terengganu cemerlang bolot emas.

Bagaimanapun, acara Optimist berpasukan menerusi Al Insyirah Aina Zulkifeli, Asmadi Azman, Muhammad Faizzuddin Mohd Fouzi, Muhammad Khaidir Mohd Zawawi dan Muhammad Luqman Hakim Mansor  sekadar menyumbang pingat perak.

Dua lagi pingat perak diperolehi melalui Umar  Al Farouk Mohd Zawawi dalam acara 4.7 Laser lelaki dan Muhammad Khaidir Mohd Zahawi menerusi Optimist U15 lelaki.

Pungutan pingat itu menyaksikan Terengganu kembali di persada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 dengan 40 emas, 31 perak dan 36 gangsa.

Pasukan pelayaran memperbaiki rekod mereka di SUKMA Sarawak lalu di mana hanya membawa pulang empat emas, dua perak dan satu gangsa.

Berbaki dua hari, ketua kontijen, Samiun Salleh optimis Terengganu berpeluang cerah menjadi juara keseluruhan sekali gus merealisasikan misi #winbackmission.

Kontinjen pantai timur itu pernah muncul juara keseluruhan SUKMA sebanyak empat kali berturut-turut dari 2008 sehingga 2012.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: