Tuesday, 18 September 2018

SUKMA 2018: Emas Terakhir Safirredzuan

SHARE
Safirredzuan (kanan) ceria bersama ibunya selepas menerima pingat emas acara 25 meter pistol individu lelaki.
Oleh: Muhd Lukman

IPOH - Penembak Terengganu, Safirredzuan Salim berjaya meraih bidikan emas menerusi acara 25 meter pistol individu lelaki hari ini dalam penampilan akhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Lebih manis lagi, kejayaan Saffiredzuan turut diiringi dengan pingat gangsa oleh rakan sepasukannya, Nik Muhammad Luqman dalam acara yang sama.

Atlet berusia 21 tahun itu berjaya mengatasi pencabar terdekatnya dari Pahang dengan kutipan 548 mata, manakala Nik Muhammad Luqman mengumpul 543 mata untuk kedudukan gangsa.

Menurut Saffiredzuan, beliau berbangga dengan pencapaiannya dan juga rakan sepasukan.

"Alhamdulillah hari ini saya berjaya melakukan yang terbaik dan mendapat sokongan padu dari pasukan.


"Saya sangat gembira hari ini kerana menaiki podium bersama Nik  Muhammad Luqman yang meraih gangsa," ujarnya.

Menurut atlet itu, beliau pernah menyertai (SUKMA) 2014 dan berjaya memperoleh emas tetapi melalui acara berkumpulan.

"Dulu saya pernah bercita-bercita untuk dikalungkan pingat emas dalam acara individu, Alhamdulillah hari ini impian saya tercapai," kata beliau ketika ditemubual selepas Majlis Penyampaian Pingat kepada para pemenang, hari ini (17 September).

Kedua-dua atlet ini turut memenangi pingat perak buat Terengganu menerusi acara menembak 25 meter berpasukan lelaki bersama seorang lagi atlet, Muhammad Amirul Hisyam.


Tambahnya, beliau mahu menghadiahkan pingat emas itu kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa menyokong beliau dan juga kepada Bapa Angkat Pasukan Menembak SUKMA Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat yang turut hadir dan mengalungkan pingat kepada para pemenang di Kompleks Menembak Darul Ridzuan hari ini.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: