Saturday, 15 September 2018

SUKMA 2018 : Dua Emas Berharga Kriterium

SHARE

TAIPING - Dua lagi emas dituai skuad berbasikal Terengganu, hari ini menjadikan keseluruhan lima pingat emas daripada sukan itu sejak dipertandingkan bermula Rabu lalu sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak 2018.

Bonus dua emas itu diraih menerusi acara kriterium 50 kilometer (km) wanita, Nur Aisyah Mohamad Zubir dan kriterium 80km lelaki, Wan Abdul Rahman Hamdan.

Kejayaan itu juga merupakan emas peribadi ketiga Nur Aisyah selepas menggengam emas pertama dan kedua masing-masing bagi kategori berbasikal 60km dan 80km individu wanita pada temasya ini.

Acara itu juga menyumbang dua pingat perak menerusi 50km (wanita) oleh pelumba, Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham dan 80km lelaki,  Zuladri Amin Zulkurnain di Taman Tasik Taiping, di sini, hari ini.


Terengganu tidak meletakkan sebarang  sasaran bagi kategori itu, bagaimanapun kelebihan dua emas berharga dari dua pelumba kebangsaan berkenaan, memberi laluan mudah untuk kontinjen negeri mencapai misi sembilan emas keseluruhan sebelum penamat acara pada 22 September ini.

Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin, berkata sasaran sembilan emas pada hari kemuncak ini lebih mudah dicapai dengan prestasi terbaik semua atlet basikal negeri ketika ini.

"Biarpun berdepan insiden kemalangan ketika pertandingan (lebuh raya) dua hari lalu, atlet tetap positif dan berada pada tahap dan masa terbaik untuk membuat kejutan sepanjang temasya berlangsung.

"Kita kekal mendominasi pungutan pingat, malah mengenepikan pencabar lain bagi acara yang tidak disasarkan sebarang pingat seperti hari ini (kriterium),"kata beliau lagi sejurus penyampaian hadiah di Dataran Majlis Perbandaran Taiping, sebentar tadi.

Zainal berkata, baki sasaran empat lagi emas dipertaruhkan kepada pelumba BMX yang memulakan saingan esok (16 - 17 September),  MTB (18 - 19 September) dan trek (20-22 September).


Untuk rekod, pada SUKMA 2016 Sarawak, Nur Aisyah yang juga pelumba negara, mendominasi lima emas menerusi acara ujian masa individu dan berpasukan, lepas beramai-ramai, individu dan berpasukan serta kriterium.

Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: