Sunday, 2 September 2018

SUKMA 2018 : Bola Sepak Dijangka Sumbang Emas

SHARE

Oleh : Syed Kamal

Skuad bola sepak Terengganu yakin mampu menghadiahkan emas buat kontinjen negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak nanti.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang juga bapa angkat kepada sukan itu, yakin dengan prestasi semasa yang ditunjukkan pasukan itu selepas menjuarai Piala Presiden 2018, baru-baru ini.

“Kita sangat mengharapkan prestasi yang cemerlang dalam Piala Presiden ini dapat dikekalkan di SUKMA nanti. Saya yakin satu emas sudah berada dalam genggaman Negeri Terengganu kerana kita telah pun berjaya meraih johan Piala Presiden baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Jalinan Mesra Bapa Angkat Pasukan Bola Sepak Sukma 2018, di Hotel Primula, di sini, malam tadi.

 Turut hadir, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.


Amzad berkata, walaupun sudah bergelar juara, pemain diingatkan supaya tidak begitu selesa dengan kedudukan itu, sebaliknya perlu mengekalkan momentum dan prestasi supaya sentiasa berada di landasan terbaik.

"Kami akan sedia membantu pasukan kita sama ada dari segi moral mahupun peruntukan yang diperlukan pasukan bagi membuahkan hasil yang gemilang buat pasukan kita insyaAllah,"katanya lagi.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: