Saturday, 22 September 2018

SUKMA 2018: Bergelar Juara, Terengganu Congak Cabaran SUKMA 2020

SHARE
Samiun dan pengarah Majlis Sukan Negeri, Ibni Amin Ismail menunjukkan jumlah kutipan pingat emas Terengganu.
IPOH - Pasukan Terengganu bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 setelah memungut 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Kejuaraan itu merupakan gelaran kali kelima setelah kali terakhir bergelar juara pada SUKMA 2012 di Pahang.

Ketua kontinjen, Samiun Salleh merakamkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) atas usaha dan kesungguhan pengurusan dalam kejohanan itu.

"Pengurusan melaksanakan sebaik mungkin pelan pembangunan atlet sejak tamat SUKMA Sarawak dua tahun lalu yang akhirnya membuahkan hasil kini," katanya.
Para pemimpin negeri turut hadir menyokong atlet yang bertanding.
Dalam kegembiraan, beliau turut mencongak cabaran yang kelihatan semakin terbuka dalam SUKMA akan datang.

"Berdasarkan pencapaian para atlet negeri lain dalam temasya kali ini, kami melihat SUKMA 2020 yang akan berlangsung di Johor lebih mencabar.

"Ini dapat dilihat dengan peningkatan atlet dalam pelbagai jenis sukan di samping pecahan pingat menunjukkan tiada pasukan yang benar-benar mendominasi jenis sukan asas.

"Pencapaian kali ini menandakan kebangkitan bakat-bakat baru untuk mewakili negara pada masa depan dan saya harap persaingan ini terus hangat untuk kita melahirkan bakat-bakat terbaik.

"Pasukan Terengganu semestinya akan menggandakan usaha untuk mencabar di temasya edisi akan datang," katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: