Monday, 10 September 2018

Sukan Nadi Kesihatan Ummah

SHARE
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Oleh: Nizam At-Takiri

KUALA NERUS - Bersukan merupakan aspek terpenting dalam menjamin kesihatan diri sekaligus kesejahteraan masyarakat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, masyarakat perlu meluangkan masa untuk bersukan.

Katanya, ia demi mengekalkan kekuatan dan kesihatan tubuh badan.

"Masyarakat perlu mengamalkan pemakanan dan aktiviti yang sihat untuk mendapatkan kesihatan yang bermutu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan acara menyampaian hadiah Program Sukan Merdeka Komuniti  anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dengan kerjasama Ameerah dan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di Padang Futsal Banggol Binjai, Tepoh, semalam (9 September).

Menurutnya, program ini terbuka kepada semua peringkat umur (wanita sahaja) dan juga kanak-kanak yang berusia 6 tahun dan ke bawah.

"Antara aktiviti dan acara menarik yang dipertandingkan termasuk pertandingan futsal, kukur kelapa, mengupas epal, mewarna (untuk kanak-kanak) dan lain-lain," ujarnya.

Program ini telah disertai oleh kira-kira 200 wanita DUN Tepoh, termasuk kanak-kanak dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di seluruh DUN Tepoh.

Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) Tepoh, Pegawai i-MiTS DUN Tepoh dan pimpinan masyarakat setempat.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: