Wednesday, 26 September 2018

SUK Terengganu Harap Kekal Gelaran Juara

SHARE
Dato' A. Rahman bersama sebahagian atlet yang akan menyertai Sukan Se­tiausaha Kerajaan Negeri (SUK) SeMalaysia Kali Ke-7 di Kelantan. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail

KUALA TERENGGANU- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu berharap untuk mengekalkan kejuaraan dalam temasya Sukan Se­tiausaha Kerajaan Negeri (SUK) SeMalaysia Kali Ke-7 yang akan diadakan di Kelantan selama lima hari bermula 30 September ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya berkata, harapan mengekalkan kejuaraan itu berdasarkan kejayaan kontinjen SUK Terengganu yang telah dua kali berturut-turut menjadi juara pada kejohanan yang diadakan secara dwi tahunan itu.

“Pada tahun 2014, kita telah bergelar juara pada kejohanan yang diadakan di Pulau Pinang dan ketika Johor Bahru menjadi tuan rumah pada tahun 2016, gelaran juara turut menjadi milik Terengganu.

“Diharapkan pada tahun ini, pasukan SUK Terengganu dapat mengekalkan kejuaraan kerana ianya sangat bermakna buat negeri ini yang telah bergelar juara keseluruhan di kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Perak baru-baru ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu (26 September).
Pada majlis itu, A. Rahman juga turut menyempurnakan penyerahan bendera Negeri Terengganu kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Marzuki Endut selaku ketua kontinjen SUK Terengganu dengan kekuatan 166 orang termasuk atlet yang terdiri daripada kakitangan Pejabat SUK Terengganu dan urusetia.
Katanya, dengan persiapan awal yang dilakukan sejak awal September lalu, tidak mustahil pasukan berupaya mencipta sejarah mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut
Sebanyak lapan jenis sukan akan dipertandingkan iaitu bola sepak, bola jaring, bola tampar, sepak takraw, badminton, dart, golf dan pingpong.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: