Saturday, 22 September 2018

Sudah Bersara Pun Masih Berkhidmat

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah (kiri) menyampaikan Pingat Setia Sentiasa Berjuan (PSSB) kepada ahli Veteran ATM yang terpilih.
Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

KUALA TERENGGANU - Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kebanggaan kerajaan negeri apabila kebanyakan mereka masih berkhidmat kepada masyarakat seperti menjadi ketua kampung, imam dan bilal walapun selepas bersara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ATM merupakan badan yang utuh kerana kesatuan di antara ahli di dalamnya.

"Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

"Begitulah semangat yang harus diambil dan dicontohi untuk kebaikan bersama," ujarnya.

Menurutnya, program ini bertujuan untuk menghargai tugas dan tanggungjawab ahli Persatuan Veteran ATM.

"Mereka terus berbakti serta menyumbang tenaga sukarela dalam masyarakat walaupun sudah bersara," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pewakilan Tahunan Ke-60 Persatuan Veteran ATM mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini (22 September).

Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut menyampaikan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) kepada anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2018 yang terpilih.

Antara 10 anggota yang menerima pingat ini adalah Mohamad Embong, Ramli Yusof, Abdul Rahman @ Ahmad Dato’ Mohd Salleh, Mejar Mohamat Isa Hassan, Pauzi Ibrahim, Md Ali Mohammad, Wan Affandi Wan Sulong, Noraiha Omar, Saudah Saleh dan Liza Abu Bakar.

Persatuan Veteran ATM Negeri Terengganu, yang dianggotai bekas tentera menghargai jasa-jasa ahlinya setiap tahun dengan mengadakan persidangan pemilihan serta penyampaian anugerah pingat kepada ahli yang layak.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: