Friday, 28 September 2018

Solat Bukan Ketika Peperiksaan Semata-mata

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah mengimamkan solat jemaah dan mendoakan kejayaan calon-calon PT3 dan SPM 2018.
Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

KUALA TERENGGANU - Amalan solat sunat hajat yang sebati dengan fatrah peperiksaan tidak harus diamalkan oleh para pelajar dalam tempoh ini semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, apa yang paling penting adalah solat fardu (yang wajib ditunaikan) dan solat sunat menjadi amalan dan kebiasaan.

“Tiada makna solat sunat hajat didirikan tetapi solat fardu tidak dijaga,” ujarnya.

Menurut beliau, solat hajat bukan hanya dilakukan oleh pelajar yang akan menduduki peperiksaan sahaja, namun ibu bapa perlu menunaikannya bersama.

"Ibu bapa mesti mengambil peranan menjadi pendorong kejayaan anak-anak mereka selain pihak sekolah.

“Doa yang mudah dimakbulkan oleh Allah adalah doa daripada ibu bapa dan janganlah kecewa jika ditakdirkan oleh Allah (bahawa anak kita) tidak berjaya dalam peperiksaan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ibu bapa dan calon PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Majlis Solat Hajat Perdana sempena Peperiksaan PT3 dan SPM 2018 di Surau SMK Sultan Mansor, Pekan Kedai Buluh (27 September).

Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung memuji usaha pihak sekolah dan guru dalam mengadakan majlis ini.

Tambahnya, program keagamaan seumpama ini menunjukan sikap ambil cakna dalam menjamin kejayaan anak didik mereka.


Majlis ini dihadiri oleh lebih kurang 400 orang yang terdiri dari ibu bapa dan pelajar.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: