Wednesday, 5 September 2018

RM2.5 Juta Untuk Mangsa Ribut Terengganu

SHARE
Haji Hanafiah Mat berucap kepada pemberita dalam sidang media tersebut. Foto - Abu Ubaidah

Oleh: Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan segera sebanyak RM2.5 juta kepada semua mangsa-mangsa bencana ribut di beberapa daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM2.5 juta.

Katanya, peruntukan itu diluluskan kepada Tabung Darul Iman (TDI) sebelum diagihkan kepada semua mangsa bencana ribut di Terengganu.

Menurutnya, jumlah kasar mangsa bencana ribut di beberapa buah daerah itu sebanyak 2,600 buah rumah.

“Hari ini kerajaan telah mengambil keputusan akan menyuntik kepada Tabung Darul Iman (TDI) bagi memastikan semua mangsa-mangsa ribut akan mendapat bantuan kerajaan negeri.

“Kerajaan bersetuju untuk membaiki semua rumah-rumah mereka dan perkara-perkara yang diperlukan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan itu kembali seperti biasa.

“Jumlah kasar mangsa ribut di negeri Terengganu ini bermula dari Kemaman hingga ke Setiu, sebanyak 2,600 buah rumah dengan anggaran kos RM2.5 juta.

“Mesyuarat Exco hari ini telah bersetuju meluluskan peruntukan segera sebanyak RM2.5 juta itu,” ujarnya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di U2 Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Terengganu melahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada semua mangsa bencana ribut di negeri ini.

Menurutnya, proses baik pulih rumah-rumah yang rosak akibat bencana itu dibuat segera melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Proses daripada kerajaan kepada TDI ini kita akan laksanakan dan proses baik pulih itu berjalan segera, boleh buat selalu.

“Kita telah arah MPKK kita cari tukang dan terus baiki, tidak perlu tunggu duit lagi. Setakat ini Dewan Undangan Negeri (DUN) yang paling teruk dan ramai mangsanya ialah DUN Wakaf Mempelam dan DUN Buluh Gading.

“Di DUN Wakaf Mempelam, lebih dari 600 buah rumah dan DUN Buloh Gading lebih 500 buah rumah. Manakala, DUN lain itu antara 100 hingga 300 buah rumah dan di tempat (daerah) lain tidak sebanyak itu,” jelasnya.

Katanya, peralihan angin monsun tenggara kali ini agak panjang yang dikesan bermula sejak 3 Ogos dan berakhir pada 3 September lalu.


Hadir sama dalam sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: